Dr Annuar (empat kiri) sambil dibantu oleh Udin (enam kiri) ketika merasmikan SCaT Fair 2024 di Stadium Tertutup Sibu, hari ini. Turut kelihatan (dari kiri) Dr Khairuddin, Anielia, Abdul Yakub, Billy dan Abang Mohamad Porkan.
SIBU: Semua pelajar perlu bersiap sedia dari sekarang dalam menghadapi persaingan untuk mendapatkan tempat di semua universiti milik kerajaan negeri, tanpa mengharapkan kepada sistem kuota.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapa'ee berkata, menjelang 2026 kerajaan negeri akan memberikan pendidikan percuma kepada semua yang layak mengikuti kursus berkaitan sains, teknologi, kejuruteraan dan metamatik (STEM) di semua universiti milik kerajaan negeri.
"Diharap semua pelajar akan bersiap sedia dari sekarang bagi menghadapi persaingan dan apabila tiba tahun 2026, semua mempunyai peluang untuk memasuki universiti tempatan di Sarawak," ujarnya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sarawak Career And Training (SCaT) Fair 2024 di Stadium Tertutup Sibu, hari ini.
Beliau mewakili Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.
Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi dan ADUN Opar Billy Sujang, Residen Bahagian Sibu Abang Mohamad Porkan Abang Budiman, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Anielia Siam, Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) Udin Bujang dan Naib Canselor Universiti Teknologi Sarawak (UTS) Prof Datuk Dr Khairuddin Hamid.
Dr Annuar yang juga ADUN Nangka berkata, beliau telah memuat naik klip video dalam TikTok beberapa hari lepas yang menyentuh mengenai pentingnya pendidikan di Sarawak serta universiti serta institusi pengajian milik kerajaan negeri seperti Swinburn, Curtin, UTS, i-CATS dan CENTEXS.
Beliau turut mengambarkan kemungkinan kemasukan ke semua pusat pengajian ini adalah berdasarkan merit atau kelayakan yang telah ditetapkan, tanpa bergantung kepada sistem kuota.
"Dalam erti kata lain, masanya sudah tiba bagi semua pelajar untuk menyedari tentang pentingnya persaingan dalam meneruskan pengajian mereka di universiti.
"Kita percaya satu-satunya jalan untuk mencapai kecemerlangan atau melatih mereka yang berbakat adalah dengan memilih atau mengambil mereka yang terbaik dalam kalangan pelajar kita.
"Hanya dengan itu kita dapat melangkah lebih jauh ke hadapan untuk membangunkan negeri ini," katanya sambil menambah klip video TikTok itu telah menarik lebih 100,000 tontonan.
Dr Annuar memberitahu, kerajaan negeri tidak menafikan terdapat sejumlah besar pelajar di luar bandar yang masih memerlukan bantuan, menyebabkan kerajaan mengambil dua pendekatan bagi membantu mereka.
"Ini dapat dilihat di UTS di mana jumlah pelajar Bumiputera amat sedikit ketika yuran pengajian yang dikenakan sebelum ini amat tinggi.
"Oleh itu, kerajaan telah bersetuju untuk memberi 50 peratus dermasiswa dan disebabkan itu, jumlah pelajar dari luar bandar terutama Bumiputera dan keluarga miskin telah meningkat kepada 38 peratus berbanding kurang 10 peratus sebelum ini.
"Ini bermakna, terdapat pelajar yang layak masuk ke universiti namun mereka menghadapi masalah kewangan.
"Satu lagi cara, kita tahu pelajar luar bandar banyak kekurangan terutama dari segi infrastruktur sekolah.
"Oleh itu, kerajaan juga membantu mereka dengan memberikan tuisyen percuma mulai tahun ini, bermula dari pelajar Tingkatan 3 hingga Tingkatan 5 dengan perbelanjaan RM15 juta setiap tahun," ujar beliau.
Dr Annuar juga percaya dengan kedua-dua pendekatan itu, lebih ramai pelajar akan dapat bersaing untuk memasuki universiti milik kerajaan negeri pada masa akan datang.
"Justeru, adalah penting bagi semua pelajar untuk bersedia dan menfokuskan kepada pendidikan agar tidak ada yang menghalang anda untuk memasuki universiti," tegasnya.
|