Ting semasa sesi soal jawab pada Persidangan DUN hari ini. -Gambar Roystein Emmor
KUCHING: Kerajaan Sarawak komited meneruskan perjuangan hak autonomi ke atas beberapa bidang utama di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi menguruskan terma berkaitan pelancongan, kata Datuk Sebastian Ting.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan itu berkata, perkara ini diperkukuhkan lagi melalui kerjasama dengan kerajaan persekutuan.
“Pengembalian hak autonomi sektor pelancongan di Sarawak masih dalam perbincangan aktif di bawah rundingan MA63 dan perkara ini penting bagi merancakkan lagi sektor pelancongan di Sarawak.
“Dalam usaha ini, kita akan bekerjasama rapat dengan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, Perjanjian Malaysia 1963 dan Hubungan Persekutuan-Negeri) dan Pejabat Peguam Negeri.
“Kerjasama ini penting untuk memastikan Sarawak diberikan kuasa eksekutif yang diperlukan untuk mengurus dan mengawal selia pelancongan dalam negeri kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Dato Lo Khere Chiang (GPS-Batu Kitang) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Sementara itu, Ting berkata, Kerajaan Sarawak dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) turut mengukuhkan pendirian untuk membuat beberapa pindaan bagi memenuhi keperluan dan kepentingan kedua-dua kerajaan persekutuan dan Sarawak.
“Kementerian saya komited untuk meneruskan rundingan dan dialog dengan MOTAC.
“Bahkan kami juga meneruskan dialog dan rundingan dengan MOTAC dalam cadangan kami untuk meminda item 25A (Pelancongan) daripada Senarai I (Senarai Persekutuan) kepada Senarai III (Senarai Bersama) yang akan memberikan kuasa bersama kepada kerajaan persekutuan dan Kerajaan Sarawak,” jelasnya.
Beliau berkata, dengan melakukan perubahan ini, Kerajaan Sarawak komited untuk mengukuhkan autonomi dalam menguruskan sektor pelancongan sekali gus dapat memacu pertumbuhan dan pembangunan di wilayah ini.
|