CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 13888|Reply: 0

[Sarawak] Jumlah kerusi Parlimen untuk Singapura dahulu harus diberi kepada Sabah dan Sarawak

[Copy link]
Post time 12-11-2024 04:30 PM | Show all posts |Read mode
Edited by Vellfire at 12-11-2024 08:32 AM



Hasidah bersama Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) bergambar kenangan semasa persidangan DUN hari ini. -Gambar Roystein Emmor
KUCHING: Kerajaan Sarawak berpandangan jumlah kerusi Parlimen yang diperuntukkan untuk Singapura sebelum ini harus diberikan kepada Sarawak dan Sabah.

Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 & Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Syarifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, ia bagi memastikan 35 peratus kerusi Parlimen dari Sarawak dan Sabah  di Dewan Rakyat seperti pada tahun 1963 dapat dikekalkan.

Pandangan ini katanya, selaras dengan tujuan atau semangat asal pembentukan Malaysia dan Laporan Jawatankusa Antara Kerajaan (IGC).

“Kerajaan Sarawak telah beberapa kali membentangkan cadangan mengenai pertambahan Ahli Dewan dari Sarawak di Dewan Rakyat di dalam beberapa mesyuarat bersama kerajaan Persekutuan.

“Antaranya ialah Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu Bilangan 1 Tahun 2022 dan Mesyuarat Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kali kedua dan keempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Dato Fazzruddin Abdul Rahman (GPS-Tupong) pada persidangan hari kedua Mesyuarat Kedua bagi Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, hari ini.

Menurut Hasidah, dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu Bilangan 1 Tahun 2022 yang  diadakan pada 8 Februari 2022, telah bersetuju supaya cadangan mengenai pertambahan bilangan Ahli Dewan dari Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat dirujuk kepada Jawatankuasa Teknikal untuk perbincangan dan penelitian lanjut.

Malah katanya, isu ini juga telah dibincangkan sekali lagi di dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 yang diadakan pada 12 September 2024 di mana mesyuarat telah memutuskan supaya perkara ini diteliti semula.

“Perkara ini penting bagi memastikan tiada satu daripada tiga entiti asal (Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak) dalam MA63 boleh menggunakan kuasa masing-masing untuk meminda Perlembagaan Persekutuan yang boleh menyentuh hak entiti-entiti lain, tanpa sokongan atau persetujuan entiti tersebut,” jelasnya.

Untuk makluman, kata beliau, apabila Singapura telah tidak lagi menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia pada tahun 1965, Perlembagaan Persekutuan telah dipinda dan kerusi Singapura di Dewan Rakyat dimansuhkan.

“Pemansuhan ini menjadikan jumlah peratus kerusi Sarawak dan Sabah di Dewan Rakyat kurang daripada 35 peratus kepada 25 peratus dan telah meningkatkan peratusan kerusi negeri-negeri di Persekutuan Tanah Melayu daripada 65 peratus kepada 75 peratus,” ujarnya.

Sebelum ini, kata Hasidah, Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia) hanya mempunyai 104 kerusi daripada keseluruhan jumlah kerusi di Dewan Rakyat manakala Sarawak, Sabah dan Singapura mempunyai 55 kerusi.

“Melalui jumlah kerusi ini katanya, tiada pihak yang memiliki majoriti dua pertiga,” katanya sambil memberitahu tuntutan 35 peratus kerusi parlimen dari Sabah dan Sarawak adalah berlandaskan peruntukan di bawah Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan 1962.

Ditanya apa tindakan selanjutnya sekiranya tuntutan 35 peratus ini dipersetujui kerajaan persekutuan, katanya, cadangan ini akan melibatkan pindaan terhadap Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan jumlah kerusi bagi setiap negeri.

“Setelah pindaan ini dilaksanakan, barulah Suruhanjaya Pilihan Raya perlu melaksanakan kajian terperinci selaras dengan Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan bagi urusan persempadanan semula,” ujarnya.

Sementara itu, Hasidah memaklumkan kerajaan persekutuan telah mengambil beberapa langkah positif dalam memberi perhatian kepada tuntutan ini.

Ini katanya, termasuk menubuhkan Jawatankuasa Kerja sebagai platform perbincangan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan Sabah dan Sarawak.

Tambah beliau, jawatankuasa ini telah dianggotai oleh wakil-wakil dari Sabah dan Sarawak bersama pegawai kerajaan persekutuan bagi memastikan isu-isu berkaitan perwakilan, autonomi dan hak-hak Sabah dan Sarawak terus diambil perhatian.

“Untuk makluman, semasa Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 yang telah diadakan pada 12 September 2024 baru-baru ini, mesyuarat telah dimaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara perlu
meneliti semula perkara ini dari sudut perundangan.

“Selepas itu, perbincangan akan diadakan semula di antara Jabatan Peguam Negara dengan Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak dan Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah.

“Ia bagi meneliti tafsiran terma 'safeguard’ (constitutional safeguards) kepada
Sarawak dan Sabah yang terkandung di dalam Laporan Suruhanjaya Cobbold dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan 1962 dari sudut aspek perundangan,” katanya.

Tegasnya, kerajaan Sarawak akan terus komited terhadap tuntutan ini untuk memenuhi hasrat rakyat Sarawak dalam mencapai perwakilan yang lebih adil di dalam Dewan Rakyat.


https://www.utusanborneo.com.my/2024/11/12/jumlah-kerusi-parlimen-untuk-singapura-dahulu-harus-diberi-kepada-sabah-dan-sarawak
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

25-11-2024 06:19 AM GMT+8 , Processed in 0.045413 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list