Kulim: "Setiap hari saya bisik di telinganya, Adam anak yang soleh, kena kuatkan semangat dan cepatlah sedar adik," kata Shuriani Mustafa, 47, hampir setiap hari kepadanya anaknya, Muhammad Adam Zulkafli, 12, yang masih tidak sedarkan diri selepas terbabit kemalangan di Sungai Kob, pada 6 November lalu.
Muhammad Adam yang juga murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Mutiara, Sungai Kob itu kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kulim.
Menurut Shuriani, sebagai ibu, dia sentiasa mendoakan anak kelima dari tujuh beradik itu kembali sihat selepas 13 hari tidak sedarkan diri dan bergantung pada alat bantuan pernafasan.
"Akibat kejadian itu, bahagian hati anak saya hancur dan sudah dibuang separuh manakala rahang dan tangan kirinya patah.
"Saya tak sanggup melihat keadaan Adam macam ini, saya masih berharap supaya dia akan sedar semula malah ramai yang turut mendoakannya termasuk guru serta rakan-rakannya," katanya ketika dihubungi hari ini.
Kisah Muhammad Adam turut dikongsi oleh Shuriani di aplikasi Tik Tok berkaitan anaknya yang masih tidak sedarkan diri dan menerima rawatan di hospital malah kebanyakan netizen turut mendoakan supaya Adam cepat sembuh.
Menurutnya, pada 10 November lalu, doktor mengurangkan dos ubat tidur untuk Adam dan ketika itulah air matanya berlinang dan kakinya gerak sedikit.
Katanya, dia cuba bercakap dengan anaknya itu untuk memberi semangat kepadanya supaya terus kuat dan kembali sihat seperti sedia kala.
"Sepanjang tempoh itu juga, saya yang bekerja sebagai operator pengeluaran kilang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji untuk menjaga Adam.
"Suami, Zulkafli Ismail, 40-an hanya bekerja swasta selain mempunyai enam anak yang lain termasuk ada yang masih bersekolah," katanya.
Shuriani berkata, sepanjang anaknya koma, Muhammad Adam mengalami demam tiga kali doktor turut memaklumkan terdapat jangkitan kuman pada paru-paru anaknya itu.
Katanya, anaknya juga baru selesai menjalani pembedahan tebuk di bahagian leher semalam namun masih ditidurkan.
"Saya rindu nak tengok Adam macam dulu dan ramai yang mendoakan dia supaya sembuh seperti sedia kala walaupun dia masih tidak sedarkan diri.
"Pagi tadi saya menghubungi hospital untuk mengetahui perkembangan anak saya, namun dimaklumkan dia masih tidak sedarkan diri dan menggunakan oksigen," katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun CIMB Shuriani Mustapa 7022267402.