Pulau Pinang setuju peruntuk RM15 juta anjur sukan snuker, biliard
Oleh Siti Aminah Mohd Yusof - November 26, 2024 @ 4:53pm[email protected]

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri. NSTP/MIKAIL ONG
GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang menerusi keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) bersetuju memperuntukkan sejumlah RM15 juta bagi penganjuran acara snuker dan biliard yang dijangka berlangsung di negeri itu bersempana Sukan SEA 2027.
EXCO Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen, berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Jawatankuasa Penganjuran juga memperhalusi cadangan menawarkan beberapa sukan tambahan jenis 'indoor' lain menerusi jumlah peruntukan yang dipersetujui mengambil kira kesesuaian kemudahan sedia ada di Pulau Pinang.
"Kerajaan Negeri telah menghantar permohonan bagi menganjurkan sukan snuker bertempat di Akademi Biliard dan Snuker Wilayah Utara di Bayan Baru kepada KBS.
"Akademi berkenaan juga mempunyai kemudahan sukan lain dari Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (Arena SPICE) dan kemudahan penginapan di lokaliti serta aktiviti ekonomi setempat yang strategik," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.
Daniel (PH-Padang Lalang) berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Lee Khai Loon (PH-Machang Bubuk) mengenai kos yang perlu ditanggung oleh Pulau Pinang untuk penganjuran Sukan SEA 2027.
Beliau turut memaklumkan, perbincangan selanjutnya akan diadakan bersama dengan KBS serta negeri-negeri penganjur yang lain bagi memuktamadkan acara sukan serta lokasi di Pulau Pinang.
"Melalui penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa, ia bakal membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi tempatan melalui pelancongan, penjualan tiket, penajaan korporat dan juga meningkatkan imej dan reputasi negeri serta negara pada peringkat global," katanya.
Beliau dalam pada itu berkata, pelbagai inisiatif sudah dilaksanakan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) bersama Persatuan Sukan Negeri dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang bagi membangunkan sukan serta atlet-atlet di negeri ini.
https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2024/11/1329136/pulau-pinang-setuju-peruntuk-rm15-juta-anjur-sukan-snuker-biliard
|