Kereta yang dinaiki mangsa dihanyut arus deras.
KAPIT: Seorang pesara paderi, 75 tahun, maut selepas keretanya dihanyutkan arus deras di Kilometer 4, Jalan Selirik, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kapit, DSP Rohana Nanu berkata, kejadian tragis itu berlaku kira-kira jam 6.00 pagi ketika mangsa sedang dalam perjalanan pulang selepas menghantar isterinya yang berniaga di kawasan SK Methodist, Kapit.
“Hujan lebat sepanjang malam menyebabkan limpahan air yang melitupi jalan.
"Arus deras telah menghanyutkan kenderaan mangsa ke dalam parit berhampiran,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Katanya, mayat mangsa berjaya dikeluarkan daripada kenderaan oleh pasukan penyelamat sekitar jam 7.40 pagi.
"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian.
Rohana turut meminta penduduk di kawasan yang berisiko banjir agar lebih berwaspada.
Katanya, orang ramai diminta untuk mengelakkan kawasan yang mudah dinaiki air atau berisiko terjejas akibat banjir.
“Kejadian ini adalah peringatan penting kepada semua pengguna jalan raya, terutamanya dalam situasi hujan lebat yang boleh membahayakan nyawa,” tambahnya.
|