Edited by maklukpenggoda at 22-12-2024 09:52 AM
NARATHIWAT: Kebanyakan banduan wanita rakyat Malaysia yang dipenjarakan di Thailand terdiri pesalah dadah, kata Pakar Pengurusan Jenayah (Bahagian Wanita) Penjara Wilayah Narathiwat Panata Yononarongdetkul.
Beliau berkata, kebanyakan ialah wanita berasal dari Kelantan yang tinggal berhampiran negeri bersempadan Thailand.
"Mereka ditahan kerana memiliki atau penyalahgunaan dadah. Sejak 10 tahun lalu, terdapat lebih 100 banduan wanita Malaysia dipenjarakan di Narathiwat.
"Kini hanya ada tujuh wanita Malaysia yang masih dipenjarakan termasuk seorang penyanyi wanita tersohor Kelantan atas dakwaan memiliki 6,000 biji pil Yaba pada November lalu," katanya kepada pemberita sempena lawatan khas media Kelantan ke Penjara Wilayah Narathiwat baru-baru ini.
Panata berkata, petugas penjara turut mengamalkan peraturan sama seperti di Malaysia, selain prosedur operasi standard berdasarkan Hak Asasi Manusia menerusi Peraturan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Layanan Banduan-Banduan Wanita dan Tindakan-Tindakan Bukan Tahanan bagi Pesalah-Pesalah Wanita (Peraturan-Peraturan Bangkok) dalam pengendalian tahanan.
Mengulas mengenai dakwaan warga maya menerusi aplikasi TikTok kononnya penjara di wilayah ini memberikan layanan buruk, beliau berkata, ia adalah tidak benar sama sekali.
Sementara itu, Pengarah Penjara Wilayah Narathiwat, Superintendan Surin Chantep, berkata pihaknya sentiasa menitikberatkan soal ibadah seperti solat berjemaah, menyediakan kelas al-Quran selain memastikan makanan yang disediakan adalah halal.
"Oleh itu, kami akan memastikan banduan mendapat makanan halal dan disediakan semua keperluan untuk beribadah.
"Polisi dan peraturan yang dilaksanakan di penjara ini lebih bercorak Islamik kerana majoriti penduduk Yala, Pattani dan Narathiwat adalah 90 peratus beragama Islam," katanya.
BH
|