Batu Pahat: "Bertaubatlah, jadikan hukuman ini untuk kamu bermuhasabah diri," nasihat Majistret Suhaila Shafi'uddin sebelum menjatuhkan hukuman ke atas pelajar berusia 17 tahun atas 63 pertuduhan amang seksual dan memiliki video pornografi juniornya.
Pesalah juvana itu diperintah menjalani hukuman di Sekolah Henry Gurney, Melaka selama tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, berkuat kuasa hari ini, selari dengan Seksyen 91 (1) (f) Akta Kanak-Kanak 2001.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-62, remaja itu didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap tujuh pelajar junior lelaki dengan meminta mangsa menunjukkan tubuh supaya dilihat oleh tertuduh.
Perbuatan dilakukan di beberapa lokasi berasingan antaranya tandas surau dan sekolah serta rumah mangsa di daerah ini, Kluang dan Tangkak.
Kesemua kejadian itu berlaku antara 10 pagi hingga 11 malam, bermula Disember 2023 hingga hujung bulan lalu, membabitkan mangsa berusia antara 13 hingga 17 tahun.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (a) (ii) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSKK) 2017 yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-dua, bagi setiap pertuduhan dikenakan terhadapnya.
Bagi pertuduhan ke-63, dia didakwa memiliki video pornografi kanak-kanak dalam komputer riba di sebuah rumah pada 2.30 pagi, 11 November lalu dan kesalahan didakwa mengikut Seksyen 10 AKKSTKK.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Razak Sharif.
Terdahulu, Pegawai Akhlak Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) Batu Pahat, Silanoraismawati Mhd Zain ketika pembentangan laporan akhlak mencadangkan agar tertuduh ditempatkan di Sekolah Henry Gurney.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan polis selama setahun serta melapor diri di balai polis berhampiran sebaik selesai menjalani hukuman dan ibu bapanya dibenar melawat sebulan sekali.
|