Pendang: Suami isteri antara tiga yang maut dalam kemalangan dua motosikal dan sebuah kereta di Jalan Alor Pudak, Titi Haji Idris, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Pendang, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, mangsa yang meninggal dunia berusia 14, 34, dan 52 tahun.
Katanya, pihaknya menerima maklumat kemalangan itu pada 11.30 malam, dengan kereta Proton Wira dipandu lelaki berusia 31 tahun dari arah Ayer Hitam, Jerlun menghala Sungai Tiang.
"Ketika di tempat kejadian, mangsa berusia 14 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda NF100M4-MA dipercayai cuba memotong kereta itu, sebelum bertembung dengan motosikal Yamaha Lagenda 115Z ditunggang suami isteri dari arah bertentangan.
"Pelanggaran menyebabkan pembonceng motosikal Yamaha Lagenda 115Z tercampak ke lorong kanan dan dilanggar kereta terbabit.
"Dua penunggang motosikal dan pembonceng meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu kereta tidak cedera," katanya dalam kenyataan hari ini.
Rodzi berkata, ketiga-tiga mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.