PENGHANTAR makanan maut selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan sebelum merempuh tembok pembahagi jalan. FOTO ihsan POLIS
Johor Bahru: Penghantar makanan maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum merempuh tembok pembahagi jalan di susur naik Jalan Lingkaran Dalam hala Pusat Bandar, di sini, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata dalam kejadian jam 12.58 tengah malam itu, mangsa lelaki berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar tembok batu pembahagi jalan.
"Motosikal jenis Yamaha Y16ZR yang ditunggang mangsa melanggar tembok batu pembahagi jalan.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Sultanah Aminah.
"Mangsa dipercayai sedang dalam perjalanan menghantar tempahan makanan di sekitar kawasan bandar raya ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Raub berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Polis meminta saksi awam supaya tampil memberikan maklumat di Balai Trafik Johor Bahru Selatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Zulpaka Bambo di talian 014-8861791," katanya.
|