CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 5301|Reply: 0

[Sarawak] Pertimbang lebih banyak platform e-wallet untuk salur SKAS

[Copy link]
Post time 7-1-2025 09:13 AM | Show all posts |Read mode
Edited by Vellfire at 7-1-2025 01:19 AM



SIBU: Kerajaan negeri disarankan untuk mempertimbangkan lebih banyak platform e-wallet bagi menyalurkan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) untuk memudahkan rakyat terutamanya bagi mereka yang menghadapi masalah dengan penggunaan aplikasi S Pay Global.

Pembantu Khas Ahli Parlimen Sibu Irene Wong (gambar) berkata meskipun tujuan utama pelaksanaan SKAS adalah untuk meringankan beban rakyat, beberapa cabaran telah muncul sepanjang proses pelaksanaan, terutamanya melibatkan golongan warga emas dan isu teknikal yang berkaitan dengan sistem bantuan tersebut.

"Salah satu masalah utama adalah kebergantungan yang tinggi terhadap satu-satunya platform e-wallet sahaja, iaitu S Pay Global.

"Kebergantungan ini menyukarkan penerima bantuan untuk mengakses sumbangan tersebut, khususnya bagi mereka yang terlupa maklumat peribadi semasa mendaftar.

"Ramai penerima bantuan yang mendaftar dengan S Pay Global semasa tempoh pandemik kini menghadapi kesukaran untuk mengakses akaun mereka kerana terlupa ID atau kata laluan, apatah lagi mereka tidak menggunakan e-wallet tersebut selepas pandemik berakhir.

"Lebih buruk lagi, mereka yang menukar nombor telefon atau alamat e-mel tanpa mengemas kini maklumat ini menghadapi kesulitan untuk mengakses bantuan yang sepatutnya mereka terima," katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Sebagai langkah penyelesaian, Wong mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan penggunaan platform e-wallet alternatif lain seperti Touch n Go atau Boost selain daripada S Pay Global.

Menurutnya, ini bertujuan memberi fleksibiliti kepada penerima bantuan yang mungkin menghadapi masalah teknikal dengan S Pay Global atau mereka yang lebih selesa dengan platform lain.

“Kerajaan boleh menyediakan lebih banyak pilihan supaya penerima bantuan yang menghadapi kesukaran teknikal dapat terus menerima bantuan tanpa sebarang halangan.

"Jika masalah teknikal S Pay Global tidak diselesaikan segera, ia mungkin akan terus memberi kesulitan pada masa hadapan," tegasnya,
Wong juga menekankan pentingnya mengambil kira golongan warga emas yang tidak memiliki telefon pintar yang diperlukan untuk mengimbas kod pendaftaran S pay Global.

Oleh itu, beliau mencadangkan agar kerajaan menyediakan alternatif kepada golongan ini, seperti memberikan kupon untuk membeli barangan keperluan harian di pasar raya, yang akan memudahkan mereka menerima bantuan.

"Kerajaan harus memberi lebih banyak masa dan pilihan bagi rakyat untuk menyesuaikan diri dengan dunia digital.

"Bagi mereka yang tidak mampu menggunakan teknologi, kami berharap alternatif lain akan disediakan untuk memastikan mereka tidak tercicir dari menerima bantuan yang layak mereka terima," tambahnya lagi.

Justeru, beliau berharap kerajaan akan segera mengambil tindakan mesra rakyat untuk memperbaiki sistem S Pay Global serta mencari penyelesaian yang lebih inklusif bagi menyalurkan SKAS kepada golongan yang memerlukan.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

20-2-2025 10:35 AM GMT+8 , Processed in 0.164944 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list