![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250106/kch-ub060125-hl-pramlee-p1.jpeg)
Ahli KPPRS dan wakil Tanahair Films Sdn Bhd merakam gambar kenang kenangan bersama Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah semasa kunjungan hormat tersebut hari ini.
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat daripada Kelab Peminat P. Ramlee Sarawak (KPPRS) yang diketuai Penasihat KPPRS Datu Dr Adi Badiozaman Tuah di Kasuma Resort hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan (JaPen) Sarawak semalam, kunjungan hormat rombongan KPPRS disertai oleh enam ahli dan dua wakil Tanahair Films Sdn Bhd.
“Tujuan kunjungan hormat ini adalah untuk memohon persetujuan Tun Wan Junaidi supaya tradisi dan legasi karya P. Ramlee dapat diteruskan dan P. Ramlee sendiri sebagai seniman agung diangkat sebagai ikon seni yang menjadi contoh dan teladan generasi muda,” ujar Dr Adi Badiozaman ketika ditemui media selepas kunjungan hormat itu.
Menurut beliau, ahli-ahli KPPRS merancang untuk mengadakan satu persembahan khas bagi menyerikan Majlis Hari Jadi TYT yang berbentuk nyanyian, tarian dan lakonan.
Selain itu, KPPRS juga akan bekerjasama dengan Tanahair Films Sdn Bhd untuk menyemarakkan dan mengetengahkan khazanah seni tinggalan P. Ramlee.
Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah Pengarah Eksekutif Tanahair Films Sdn Bhd Dato Khairul Anwar Salleh, Presiden KPPRS Saie Dris, Pengarah Kreatif Tanahair Films Sdn Bhd Adlin Aman Ramlie serta ahli-ahli KPPRS yang lain.
|