Edited by sfhzuraz at 19-1-2025 12:29 PM
Replika rumah tradisional Kedah tarikan baharu TMK 2025
NURUL HIDAYAH HAMID
19 Januari 2025 10:35am
Mohd Salleh (dua kiri) dan Mohd Salleh (dua kanan) bergambar di rumah tradisional Kedah.
ALOR SETAR - Replika rumah tradisional Kedah di Dataran Medan Bandar, di sini, akan menjadi tarikan baharu pelancongan di Bandaraya Alor Setar dalam usaha merancakkan program Mai Singgah Alor Setar Lagi bersempena Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025.
Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mohd Yusri Md Daud berkata, rumah kayu tradisional terbabit menelan kos sekitar RM25,000 dan mengambil masa selama tiga bulan untuk disiapkan.
Beliau memaklumkan, tarikan baharu terbabit akan dibuka kepada orang ramai setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.
"Kawasan tersebut diterangi cahaya khas untuk menambah daya tarikan di rumah tradisional itu pada waktu malam juga.
"Selain itu, pakaian tradisional Melayu turut disediakan untuk disewa oleh pengunjung yang ingin bergambar, memberikan peluang kepada mereka untuk mengalami suasana autentik budaya Melayu," katanya.
Beliau berkata sedemikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Mai Singgah Alor Setar Lagi dan Perasmian Rumah Kayu Tradisional di Dataran Medan Bandar, di sini, pada malam Sabtu.
]
Mohd Yusri (kiri) dan Mohd Salleh (kanan) melawat rumah tradisional yang menjadi tarikan baharu di Dataran Medan Bandar.
Mohd Yusri menambah, pihak mereka turut bercadang menambah bilangan rumah tradisional di kawasan tersebut bagi membangunkan suasana kampung Melayu di Bandaraya Alor Setar.
Beliau memaklumkan, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) juga akan bekerjasama dengan pihak Pekan Rabu untuk pembukaan kios yang menjual cenderamata di kawasan Dataran Medan Bandar itu.
Sementara itu, Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, Kedah kaya dengan budaya termasuklah seni binaan rumah-rumah tradisional yang merupakan antara binaan yang terkenal dan dikagumi.
"Oleh demikian, sangat wajarlah MBAS membawa replika rumah kayu tradisional Kedah di Dataran Medan Bandar ini dalam usaha untuk mengangkat Alor Setar sebagai pusat pelancongan moden mengutamakan seni tradisional," katanya.
Beliau berpandangan, rumah tradisi ini juga mencerminkan keazaman kita mengekalkan elemen warisan sambil memperkenalkan inovasi dalam pelancongan.
Mohd Salleh berkata, rumah tradisional ini akan menjadi kenangan pelancong tempatan mahupun antarabangsa semasa berada di Alor Setar.
Beliau turut menyeru semua pihak agar menjaga kebersihan dan mengelakkan vandalisme terhadap kemudahan awam di bandar Alor Setar itu.
"Kita semua bertanggungjawab memastikan aset pelancongan ini terus terpelihara demi mempromosikan imej positif negeri Kedah," katanya.
https://www.sinarharian.com.my/article/708005/edisi/utara/replika-rumah-tradisional-kedah-tarikan-baharu-tmk-2025
|