Edited by sfhzuraz at 19-1-2025 03:12 PM
'Tak perlu perbesarkan lagi isu sandwic ‘ham & cheese’'
MOHD ISKANDAR OTHMAN
19 Januari 2025 02:36pm
Dr Ahmad Zahid pada Majlis Penutupan Permukiman Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) 2025 di sini hari ini. Foto Bernama
TELUK BAHANG - Kerajaan berharap kontroversi penjualan produk sandwic ‘ham & cheese’ di premis runcit di Universiti Malaya (UM) tidak lagi diperbesarkan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini berikutan tindakan pihak rangkaian runcit terbabit telah mengambil tindakan proaktif dengan menarik balik penjualan produk berkenaan di pasaran.
Malah katanya, UM juga telah mengambil tindakan segera dengan menutup serta merta premis runcit yang terlibat di dalam kampus mereka.
"Sebagai Pengerusi Majlis Pembangunan Halal Malaysia yang menjalin kerjasama erat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah melakukan beberapa saranan supaya perkara-perkara menyentuh soal agama ini dielakkan.
"Tentunya tindakan UM menutup serta merta premis runcit di kampus itu adalah satu tindakan segera dilakukan dan saya harap isu ini tidak lagi diperbesarkan kerana pihak rangkaian jualan runcit itu telah mengambil tindakan proaktif dengan menarik barangan itu," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Pemukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini, pada Ahad.
Dr Ahmad Zahid berkata, apa yang berlaku dalam isu terbabit mungkin satu kesilapan dan diharap dijadikan pengajaran terbaik untuk semua pihak.
Beliau berkata, isu berkenaan akan ditangani sebaiknya oleh Jakim dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta tindakan oleh PDRM.
Sebelum itu, polis telah menerima laporan berhubung penjualan makanan 'sandwic ham & cheese' yang diragui status halal di sebuah kedai serbaneka di UM.
Kes telah dirujuk kepada Jakim serta KPDN telah mengesahkan produk makanan itu tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Bagaimanapun, syarikat pengeluar produk ‘sandwich ham & cheese’, Shake And Bake Café Sdn Bhd (Shake And Bake Café) mengesahkan kepingan daging ayam digunakan dalam pembuatan sandwic mempunyai sijil halal sah daripada Jakim.
https://www.sinarharian.com.my/article/708047/berita/nasional/tak-perlu-perbesarkan-lagi-isu-sandwic-ham-cheese
|