60 peratus wanita di Malaysia tak pernah jalani saringan kanser serviks
Oleh BERNAMA - Januari 20, 2025 @ 5:01pm
Wan Badariah (dua dari kanan) bersama Abdul Shukur melawat klinik mobil pemeriksaan HPV DNA selepas Majlis Perasmian Bulan Kesedaran Kanser Serviks Peringkat Perlis 2025, hari ini. - NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR
KANGAR: Sebanyak 60 peratus wanita di Malaysia tidak pernah menjalani pemeriksaan 'pap smear' bagi saringan kanser serviks, berdasarkan data Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019.
Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Abdul Shukur Abdullah, berkata statistik itu mencerminkan tahap kesedaran yang masih rendah dalam kalangan wanita mengenai kepentingan pengesanan awal penyakit terbabit.
"Kanser serviks merupakan ancaman nyata kepada kesihatan wanita, malah ia adalah kanser ketiga paling kerap dihidapi wanita pada peringkat global dan kanser keenam utama di Malaysia," katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Bulan Kesedaran Kanser Serviks Peringkat Perlis 2025, di sini, hari ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Perlis, Wan Badariah Wan Saad. Turut hadir ialah Pengarah LPPKN Perlis, Naemah Ibrahim.
Mengulas lanjut, Abdul Shukur berkata, tahap kesedaran yang rendah itu disebabkan beberapa faktor, termasuk stigma takut dan malu untuk menjalani ujian meskipun kanser serviks lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita berumur 40-an.
Beliau berkata, usaha meningkatkan kesedaran itu terus giat dilakukan melalui pelaksanaan Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) sejak 2022, termasuk menyediakan ujian Human Papillomavirus (HPV) DNA secara percuma kepada golongan sasar.
Bagi tempoh 2019 hingga 2024, katanya, seramai 162,581 wanita di seluruh negara telah menjalani ujian HPV DNA.
Daripada jumlah itu, beliau berkata, sebanyak 10,582 kes positif dikesan, manakala untuk tahun lepas saja 3,038 kes positif dicatatkan.
"Di Perlis, data menunjukkan 1,888 wanita telah menjalani ujian HPV DNA dalam tempoh lima tahun, dengan 79 kes positif direkodkan.
"Namun, jumlah itu hanya mewakili 3.3 peratus daripada anggaran 56,700 wanita berumur antara 30 hingga 65 tahun di Perlis.
"Sejumlah 52,735 wanita di Perlis masih belum menjalani ujian ini. Pada 2024, seramai 475 wanita telah menjalani ujian HPV DNA, mengatasi sasaran 400 orang.
"Sebanyak 18 kes positif dikesan, dan angka itu menjadikan Perlis negeri ketiga tertinggi kes kanser serviks di Malaysia pada 2024," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta LPPKN menyasarkan 80,000 wanita di seluruh negara menerima manfaat program WCaRe, iaitu 45,000 bagi saringan kanser serviks dan 35,000 lagi untuk subsidi mamogram, tahun ini.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/01/1351679/60-peratus-wanita-di-malaysia-tak-pernah-jalani-saringan-kanser
|