Edited by sfhzuraz at 20-1-2025 06:58 PM
Mangsa kebakaran syukur dapat rumah baharu
ROSHILA MURNI ROSLI
20 Januari 2025 06:13pm
Mohd Nizam (tiga dari kanan) menyampaikan replika kunci kepada Mohd Nazi di kediamannya di Kampung Pida 5 Ayer Hitam.
KUBANG PASU - Seorang pesawah bersyukur menerima bantuan pembinaan rumah baharu daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) selepas kediamannya itu musnah dalam kebakaran pada Mei tahun lalu.
Mohamad Nazi Kadir,57 berkata, sejak tragedi kebakaran yang memusnahkan keseluruhan rumahnya, mereka sekeluarga hanya berteduh di rumah sementara yang dibina penduduk kampung.
"Selepas kebakaran itu, orang kampung yang datang cadang buat rumah sementara untuk kami sekeluarga duduk.
"Mereka bantau buat seorang sedikit, bahagian yang kena upah orang, saya guna duit sumbangan orang ramai untuk buat. Nak harap duit saya menang tak ada la," Katanya ketika ditemui di rumahnya di Pida 5 Atas, Ayer Hitam, Mukim Jerlun di sini pada Isnin.
Menurut bapa kepada seorang cahaya mata itu, penduduk kampung yang prihatin juga membantunya memohon sumbangan pembinaan rumah di beberapa agensi termasuk KKDW.
"Mereka kata cuba minta, mana tahu rezeki. Saya pada awalnya tak berharap sangat sebab tahu ramai yang mohon.
"Jadi sebab tak berharap saya cuba siapkan juga rumah sementara kami. Kalau dapat pun (permohonan lulus) mesti ambil masa nak siap. Takkan nak menumpang rumah saudara pula,'" ujarnya.
Jelasnya dia bersyukur apabila telah menerima kunci rumah baharu sumbangan KKDW pada awal tahun ini.
"Selesa lah untuk kami tiga beranak duduk, dapatlah sambut puasa dan raya di rumah baharu nanti," ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Negeri Kedah/Perlis/Pulau Pinang, Mohd Nizam Mokhtar berkata, pihaknya mendapati Mohd Nazi memenuhi syarat yang ditetapkan untuk pembinaan rumah baharu.
"Kadar bantuan bagi Skop Bina Baharu di Kawasan Semenanjung adalah sebanyak RM79,000.Kadar baharu bantuan ini telah diluluskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Ogos 2024 yang lalu.
"Kumpulan sasar bagi bantuan ini adalah Khusus untuk warganegara Malaysia dalam kalangan miskin tegar dan miskin yang ditentukan berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) semasa yang disahkan menerusi Sistem e-Kasih," katanya.
Jelasnya, ia juga perlu diperakui dan disahkan layak oleh Mesyuarat Focus Group Daerah, diperaku oleh agensi kerajaan yang terlibat dalam pembasmian kemiskinan dan Jawatankuasa di peringkat Kementerian.
https://www.sinarharian.com.my/article/708312/edisi/utara/mangsa-kebakaran-syukur-dapat-rumah-baharu
|