
Ding melakukan tinjauan ke kaunter pendaftaran Sarawak ID dan S Pay Global hari ini yang telah dibuka di Dewan Masyarakat Bintangor sejak Khamis.
BINTANGOR: Pembukaan kaunter pendaftaran Sarawak ID dan Sarawak Pay (S Pay) Global bagi penerima Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) Daerah Meradong telah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing berkata, pembukaan kaunter tersebut telah mencapai sasarannya dan telah banyak membantu masyarakat di kawasan ini.
"Berdasarkan tinjauan dan maklum balas yang telah kita terima daripada masyarakat setempat, pembukaan kaunter ini telah memudahkan urusan dan juga proses pendaftaran bagi golongan sasar yang layak dalam urusan mendapatkan bantuan kerajaan melalui program S Pay Global bagi penerima SKAS.
"Program ini telah banyak membantu golongan kurang celik teknologi maklumat dalam membuat pendaftaran dalam program bantuan yang telah dilancarkan oleh kerajaan Sarawak, baru-baru ini.
"Kita juga berharap masyarakat dapat memanfaatkan peluang yang ada ini dengan sebaik yang mungkin dalam urusan berkaitan," kata Ding.
Beliau berkata demikian sejurus selesai mengadakan tinjauan dan lawatan ke kaunter terbabit yang dibuka di Dewan Masyarakat Bintangor, hari ini.
Kaunter tersebut akan dibuka selama tiga hari bermula Khamis hingga Sabtu seawal jam 8 pagi.
"Pembukaan kaunter sebegini dapat menolong terutama warga emas dan yang tak celik teknologi maklumat dan pendaftaran di kaunter fizikal ini tidak memakan masa yang lama kerana tidak semua orang terutama yang dah berumur boleh menggunakan telefon pintar.
"Sehubungan itu, kita ingin menyeru kepada orang ramai yang belum memohon atau mengalami sebarang masalah untuk pendaftaran bolehlah merujuk dengan para sukarelawan SKAS dalam masa tiga hari ini untuk melakukan proses pendaftaran," jelas Ding lagi.
|