
SAMPAIKAN: Matbali menerima cenderakenangan sempena majlis itu.
SIPITANG: Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah menyarankan badan dakwah di daerah itu untuk mewujudkan sebuah akademi al-Quran bagi melahirkan lebih ramai qari dan qariah berkualiti dan berpengalaman.
Katanya, usaha itu juga dapat mencukil bakat-bakat baharu yang boleh diketengahkan ke peringkat yang lebih jauh terutama dalam majlis Tilawah al-Quran.
"Al-Quran adalah suatu pedoman yang harus kita jadikan sebagai sandaran dan kita (umat Islam) harus memartabatkan pada masa sama juga memberi pendedahan khususnya dalam mencukil bakat-bakat baru dalam mendalami al-Quran.
"Kita akan berbincang pengerusi biro dakwah mengenai perkara ini dan bantu dari segi dana agar usaha murni ini dapat dilaksanakan sekali gus memastikan anak muda kita tidak tercicir dalam segi pengetahuan untuk mendalami bidang al-Quran," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Sipitang yang diadakan di Masjid Kampung Pelakat, dekat sini baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, Matbali yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola Lembaga Koko Malaysia (LKM) menyeru kepada masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan fitnah dan tomahan yang semakin menjadi-jadi dalam media sosial kebelakangan ini.
Katanya, tindakan pihak tertentu yang menyebar fitnah terutama terhadap pemimpin dikhuatiri akan mendatangkan kekeruhan dan kemudaratan kepada masyarakat sekali gus menjejaskan keharmonian serta kedamaian yang telah dikecapi hari ini.
Jelasnya, sebagai masyarakat yang bertamadun kita seharusnya memberikan teladan yang baik agar anak muda dapat mencontohinya demi memastikan keharmonian dapat dipertahankan dan mencapai kejayaan dan kemajuan yang lebih baik.
Pada majlis itu, Matbali menyampaikan hadiah kepada Johan Qari, Mohd Hafiz Batu Bara Manshuruddi dengan markah 89 peratus manakala Johan Qariah dimenangi Norsah Zakaria@Sauaya, dengan markah 71 peratus.
|