
RAMPAS: Minyak petrol cuba diseludup ke negara jiran berjaya dirampas.
KUDAT: Cubaan menyeludup petrol ke negara jiran gagal apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Pulau Langdayang, Pitas, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, seorang lelaki warga asing berusia 34 tahun ditahan ketika cuba melarikan dengan terjun ke laut manakala rakannya berjaya melarikan diri ke daratan berhampiran.
Pengarah Maritim Malaysia Zon Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai aktiviti penyeludupan di perairan berkenaan.
Katanya, bot ronda Maritim Malaysia Kudat yang sedang menjalankan rondaan Op Sejahtera/Op Tiris/Op Pluto Timur dan Op Cegah PTI terus digerakkan ke lokasi berkenaan.
“Sebaik tiba, pasukan operasi mengesan sebuah pam bot dalam keadaan mencurigakan. Ketika bot ronda cuba menghampiri untuk pemeriksaan, terdapat dua lelaki bertindak terjun ke laut cuba melarikan diri.
“Namun seorang daripada suspek berjaya ditahan semula, manakala seorang lagi melarikan diri ke daratan berhampiran,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut terhadap bot suspek menemukan 12 tong drum biru dipercayai berisi bahan api petrol.
“Siasatan awal mendapati, suspek yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah. Suspek dan bot diiringi masuk ke Jeti Marina Kudat.
“Suspek bersama semua barang rampasan dianggarkan bernilai RM20,000 diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata Zon Maritim Kudat menyeru kepada masyarakat khususnya komuniti maritim di Kudat, Kota Marudu dan Pitas untuk sama-sama membantu Maritim Malaysia melaporkan sebarang salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut.
“Laporan dan maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pusat Operasi Zon Kudat di talian 088-611858 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya.
|