Pengilang campur beras tempatan dengan import 'bunuh' pengilang jujur
Oleh Aizat Sharif - Februari 2, 2025 @ 4:54pm[email protected]

Foto hiasan.
KANGAR: Sebuah kilang pemerosesan padi Bumiputera terbesar di Perlis, Kilang Dibuk Sdn Bhd, mendakwa berisiko 'gulung tikar' selepas terpaksa menanggung defisit kerugian jutaan ringgit sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pengarah Urusannya, Marzhuki Othman berkata antara punca adalah tindakan manipulasi beras tempatan yang dijadikan sebagai beras import, menyebabkan kilang padi yang beroperasi sejak 57 tahun lalu itu semakin 'sakit' untuk meneruskan operasi dalam pemprosesan padi.
Kilang Dibuk Sdn Bhd terletak di Jalan Kangar-Alor Setar di Simpang Empat, di sini dan sering menjadi tumpuan serta memberi kemudahan kepada lebih 10,000 petani di Perlis.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengerusi Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia berkata kilang terbabit tidak lagi mampu bertahan selepas perkembangan semasa berhubung tekanan lonjakan harga belian padi yang tinggi, meskipun harga beras masih berada dalam keadaan rendah.
"Dalam dua tahun kebelakangan ini sahaja, operasi kita sudah mengalami kerugian lebih RM10 juta termasuk membabitkan tiga kilang milik kita.... menyedihkan, dua daripada tiga kilang itu sudah menutup operasi dan satu lagi bakal menyusul.
"Kita sudah tidak mampu bertahan dengan tekanan lonjakan harga belian padi daripada petani yang satu ketika pernah mencecah hampir RM2,000 per tan metrik," katanya ketika dihubungi.
Marzhuki berkata, kilangnya mampu menjalankan pemprosesan padi sehingga 30,000 tan metrik semusim dengan kekuatan 78 pekerja.
"Saya boleh katakan daripada 127 kilang padi milik sepenuhnya Bumiputera yang aktif sejak 1998, kini hanya tinggal sembilan yang masih bertahan namun dalam keadaan 'sakit' dan menunggu untuk menutup operasi.
"Kilang ini hanya menghitung waktu sahaja untuk 'bungkus' seandainya tiada satu langkah efektif diambil dalam menangani dasar yang sudah tidak relevan seperti kawalan harga beras putih tempatan berbanding beras putih import yang tidak dikawal harga siling.
"Dalam masa sama, pihak berkuasa digesa tidak lagi mengeluar dan membenarkan pusat belian padi berlesen berada dalam lingkungan 20 kilometer dengan kilang.
"Ini kerana pemegang lesen ini dilihat menjadi 'orang tengah' dalam manipulasi pasaran beras ini," katanya.
Tambahnya lagi, golongan itu ditaja kilang besar dalam membolot padi walaupun berada di luar kawasan, malah mereka juga menaikkan kos dalam pengeluaran beras.
"Lonjakan harga belian padi disebabkan persaingan daripada pengilang besar bukan Bumiputera yang turut menguasai pasaran beras borong bagi mendapatkan bekalan padi.
"Dalam hal ini, pengilang sendiri mempunyai rangkaian pengedaran beras itu di mana kegiatan mereka mencampurkan beras tempatan yang dibeli dengan harga kawalan bersama beras import dan ia kemudian dijual dengan label beras import menerusi harga yang tidak dikawal.
"Mereka ini akhirnya mengaut untung berlipat ganda menerusi aktiviti manipulasi beras tempatan yang dijadikan beras import dan ini digunakan untuk menaikkan harga padi di lapangan," katanya menegaskan kegiatan pengilang seumpama ini secara langsung 'membunuh' pengilang sepertinya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/02/1356598/pengilang-campur-beras-tempatan-dengan-import-bunuh-pengilang-jujur
|