Edited by Vellfire at 2-2-2025 03:09 PM
Nanta (kanan) ditemani Cassidy (kiri) semasa melakukan lawatan pemantauan laluan trafik di KM817 Jalan Serian-Sri Aman hari ini. - Gambar Chimon Upon.
SERIAN: Lebuh Raya Pan Borneo dijamin selamat untuk semua pengguna jalan raya kata Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi semalam.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan pemberita tentang kekhuatiran segelintir pengguna sekiranya terjadi kejadian tanah runtuh akibat hujan yang turun berterusan.
“Tidak perlu khuatir akan kejadian tanah runtuh akibat hujan berterusan kerana rekaan Lebuh Raya Pan Borneo dijamin selamat untuk semua pengguna jalan raya.
“Pan Borneo memang direka untuk menangani masalah banjir. Cuma berkemungkinan terdapat limpahan dari sungai berdekatan dan ia boleh terkena banjir tapi tidak ada risiko tanah runtuh,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau pada masa yang sama mengadakan lawatan kerja ke KM817 Jalan Serian-Sri Aman ditemani Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Dr Cassidy Morris bagi memantau situasi banjir di sini.
Nanta bagaimanapun berkata Sarawak boleh memilih alternatif seperti melantik sebuah syarikat konsesi bagi mempercepatkan kerja pembaikan jalan jika perlu.
“Sebab syarikat ini ada diberi peruntukan setiap tahun. Saya tidak berapa tahu di Sarawak ini.
“Mungkin itu satu daripada idea yang boleh juga diguna atau diaplikasikan di sini,” tambahnya mencadangkan.
Nanta memuji usaha pihak JKR Sarawak kerana bergerak pantas ke semua lokasi yang memerlukan perhatian segera pihaknya.
Sementara itu, Cassidy ketika ditanya tentang laporan kes lima mangsa di Miri yang dikhuatiri terkorban akibat tanah runtuh bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut berlaku berdekatan dengan jalan raya.
“Setakat ini tak ada yang menyebabkan apa-apa kemalangan jiwa. Cuma kita melakukan yang terbaik untuk memastikan jalan kita yang mengalami runtuhan diambil tidakan segera untuk buat jalan pintas.
“Tetapi mana-mana jalan yang mengalami keruntuhan kita akan ambil tindakan segera, buat lencongan dan pastikan jalan tersebut selamat untuk dilalui pengguna,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pihaknya kini sedang dalam usaha mengumpul data bagi perincian untuk sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo di Sarawak.
|