Poster tertera nombor kecemasan pihak SFC jika diancam buaya.
KUCHING: Sarawak Forestry Corporation (SFC) mengeluarkan kenyataan berjaga-jaga terhadap haiwan pemangsa, buaya sepanjang musim banjir ini.
Perkara tersebut dipetik menerusi laman media sosial Facebook SFC kerana dikhuatiri haiwan pemangsa itu juga keluar tanpa diduga.
“Hari ini min cuma mahu membuat pesanan ringkas, ekoran kita tengah dilanda musim hujan, min mahu semua orang sentiasa berjaga-jaga dan toleh kiri kanan depan belakang dengan persekitaran kita.
“Apabila paras air naik disebabkan hujan berterusan, buaya juga pandai naik, takut terserempak pula tengah santai tepi parit atau sungai,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Antara tip yang dikongsikan pihaknya adalah untuk tidak membenarkan anak bermain dan melalui kawasan parit besar atau sungai terutama sewaktu hujan lebat.
Diingatkan juga untuk sentiasa berwaspada dengan info terkini berkaitan buaya dan tidak melakukan sebarang aktiviti pada waktu lewat petang atau malam serta membuang sisa bangkai/sampah di sungai yang disyaki ada buaya.
“Haiwan ternakan turut tidak dibenarkan berkeliaran pada musim tengkujuh selain menyimpan nombor kecemasan pada telefon bimbit untuk senang dihubungi pada waktu-waktu perlu,” tambahnya.
Sebarang kejadian kecemasan berhubung buaya boleh menghubungi pihak SFC di talian 019-8859996 (Kuching), 019-8883561 (Sibu), 019-8332737 (Bintulu) dan 019-8290994 (Miri).
|