Edited by Vellfire at 2-2-2025 04:04 PM
Abang Johari mendengar luahan hati penduduk Kampung Lereng Bukit yang dipindahkan di PPS Kompleks BSMM Miri, semasa melawat pusat berkenaan hari ini.
MIRI: Kerajaan Sarawak akan memindahkan Kampung Lereng Bukit ke lokasi lebih selamat yang akan dikenal pasti kelak di bawah program penempatan semula kampung.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pihaknya akan mencari tapak yang lebih selamat dan selesa untuk menempatkan penduduk kampung berkenaan ekoran struktur tanah yang semakin mengancam keselamatan dan tidak sesuai untuk diduduki.
Bercakap kepada pemberita pada sidang media di sini, semalam selepas melawat mangsa tanah runtuh yang juga penduduk Kampung Lereng Bukit yang ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Kompleks Bulan Sabit Merah Malaysia (BSM) Cabang Miri, Abang Johari berkata mangsa yang terjejas turut merayu untuk dipindahkan.
"Tadi seorang mangsa berkata, ‘pindahkan ajak kamek tok’ (pindahkan sahaja kami).
"Kalau dulu ada yang mahu (berpindah), ada tidak mahu tetapi apabila tadi mendengar permintaan (penduduk), bermakna sudah ada kesedaran di kalangan masyarakat kita mahu tempat tinggal yang lebih selesa dan selamat.
"Cadangan kita, mungkin kita akan membuat penempatan semula di kawasan lain yang lebih selamat kerana kita sudah ada pengalaman seperti (yang dilaksanakan) di Kuching, Kapit dan Tatau.
"Maknanya kita akan membuat kajian dan meminta kerjasama (penduduk), apabila kerajaan membuat keputusan untuk memindahkan mereka ke kawasan yang lebih selamat," katanya.
"Memang ia ada kos (melakukan penempatan semula kampung) tetapi kita akan cari.
"Mengikut program kita ini (penempatan semula kampung), pembangunan infrastruktur akan ditanggung kerajaan dan mereka akan diganti rugi (disediakan rumah dan kemudahan) dan mereka tidak perlu menanggung beban hutang (untuk kediaman dan sebagainya), mereka hanya perlu pindah masuk sahaja kerana kosnya sama di mana mereka tidak perlu membayar apa pun," katanya dengan mengambil contoh program serupa di Darul Hana di Kuching.
"Kalau ada rezeki sikit, kita akan tolong rakyat kita," tambahnya.
Manakala Bukit Kanada kelak akan dipulihara sebagai bukit hijau yang tidak berpenghuni.
"Kalau ia runtuh (di masa depan), ia tidak akan membahayakan nyawa manusia dan (langkah) ini adalah untuk keselamatan," ujarnya.
Ditanya mengenai penyelesaian jangka pendek kerajaan sementara menunggu tapak baharu untuk program penempatan semula kampung itu, Abang Johari berkata, jika kediaman ketika ini masih selamat untuk didiami, mereka akan dibenarkan tinggal di situ dalam tempoh setahun atau dua tahun ini.
"Tetapi apabila masanya sampai, kita dah kenal pasti kawasan untuk dipindahkan, saya harap mereka akan bekerjasama untuk pindah.
"Kalau dah teruk ni (keadaan ketika ini) kita carilah tempat flat untuk mereka.
"Tadi saya pergi ke sana, tanah sana macam sungai, nama saja dah lereng bukit," katanya sambil menambah, akan mencari lokasi sesuai untuk bangunkan kawasan flat dengan akses bas dan komunikasi yang mudah.
Mengenai geologi tanah tersebut Abang Johari berkata berdasarkan kajian, tanah di lereng bukit itu bercampur dengan pasir yang menjadikannya poros dan bila-bila masa akan runtuh dan menjadi ancaman bahaya kepada penduduk.
Insiden tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit dan Bukit Kanada ini bukanlah perkara baharu malah pernah berlaku sekurang-kurangnya tiga kali dan pernah mengorbankan dua nyawa dalam insiden pada 2009.
Namun insiden kali ini adalah yang terburuk apabila ia mengorbankan lima nyawa daripada sebuah keluarga pada awal pagi 29 Januari lalu, di samping memusnahkan beberapa kediaman.
Terdahulu pada pagi 28 Januari, tiga kejadian tanah runtuh turut berlaku di lokasi berbeza di kampung berkenaan dan Bukit Kanada, menyebabkan Jabatan Bomba dan Penyelamat mengarahkan penduduk berpindah atas faktor keselamatan.
Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari turut mengumumkan peruntukan khas RM10 juta untuk Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JBNS) membantu semua mangsa yang terjejas akibat banjir di seluruh negeri.
"Mungkin kita juga akan melaksanakan pembinaan semula (di kawasan yang terjejas)," katanya sambil menambah bahawa bencana kali ini adalah luar biasa dengan hujan tanpa henti berserta air pasang besar.
Turut hadir ialah kedua-dua Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Pengerusi BSMM Negeri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan serta menteri-menteri kabinet negeri yang lain.
|