![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250131/kch-ub310125-jl-askar-p1.jpg)
Anggota tentera membantu memindahkan mangsa banjir.
KUCHING: Trup Batalion Ke-10 Rejimen Sempadan (10 RS) di bawah kawalan operasi Ops Murni kawasan tanggungjawab (KTJ) 3 Bgd telah diaturgerakkan bagi membantu agensi keselamatan yang lain di kawasan terjejas banjir di bahagian Kuching.
Jurucakap 10 RS berkata, semua aset dan anggota telah diaturgerakkan sejak 29 Januari lalu bagi memastikan keselamatan orang awam sentiasa terjaga dan terpelihara.
“Tinjauan serta pemantauan yang berterusan di kawasan berisiko banjir dilaksanakan sebagai persediaan untuk diatur gerak pada bila-bila masa.
“Di samping itu, pasukan turut memberi bantuan pemindahan mangsa banjir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak dalam penghantaran barang keperluan bencana dengan menggunakan aset kenderaan dan bot,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, Pegawai Memerintah Leftenan Kolonel Ismanizam Ismail turut hadir melawat ke tiga PPS iaitu di SJKC Chung Hua Batu Kawa, PPS Kampung Segedup dan PPS Kampung Sejijak.
Dalam lawatannya, beliau menasihati trup agar sentiasa menitikberatkan aspek kebersihan dan keselamatan diri dalam mengharungi misi penyelamatan mangsa banjir dan sentiasa menyalurkan apa jua bentuk pertolongan kepada mangsa banjir dan agensi keselamatan setempat.
“Pasukan 10 RS akan terus komited dalam menjayakan Ops Murni ini dalam mendukung prinsip Whole Of Government Whole Of Society (WOGOS) dalam mengukuhkan kerjasama antara awam dan tentera,” katanya.
|