Anggota Maritim Malaysia Zon Bintulu sedang melaksanakan tugas merekod data-data dalam operasi pengesanan nelayan dan vesel yang hilang.
BINTULU: Sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) yang dikendali tiga nelayan warga Indonesia dilaporkan hilang selepas terputus hubungan komunikasi sejak 29 Januari lalu di perairan laut Bintulu.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, vesel tersebut masih gagal dikesan, mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan mereka.
Katanya, pihaknya menerima laporan kehilangan vesel itu daripada seorang pengadu, Faiz Yong Abdullah pada jam 4 petang semalam (Khamis).
"Majikan ketiga-tiga nelayan terbabit telah membuat laporan polis, memaklumkan bahawa vesel tersebut berlepas ke laut untuk menangkap ikan pada 26 Januari.
"Begitupun pada 29 Januari, jurumudi vesel gagal dihubungi melalui alat komunikasi radio dan telefon bimbit, sekali gus menimbulkan kebimbangan sesuatu perkara yang tidak diingini telah berlaku," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Para pegawai Maritim Malaysia Zon Maritim Bintulu yang terlibat operasi di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Jeti Pasukan Polis Marin Jepak.
Peta lokasi vesel dan nelayan yang gagal dihubungi.
Susulan laporan kehilangan itu beliau berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) pada 30 Januari jam 9 malam.
Sebagai langkah awal katanya, bot KILAT 44 telah dikerahkan untuk melakukan pencarian dengan usaha mencari pada malam pertama terpaksa ditangguhkan akibat cuaca buruk berikutan angin kencang berkelajuan 40 kilometer sejam serta ombak setinggi 2.5 meter menyukarkan operasi pencarian.
"Operasi CARILAMAT hari kedua diteruskan pada jam 8 pagi tadi (Jumaat) dengan penubuhan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Jeti Pasukan Polis Marin Jepak.
"Operasi ini turut dibantu oleh Pasukan Polis Marin Wilayah 5 Bintulu serta agensi-agensi sahabat yang lain," jelasnya sambil menambah Operasi CARILAMAT mangsa berkenaan ditangguhkan dan akan disambung pada hari ini.
Dalam pada itu katanya, Maritim Malaysia menasihatkan komuniti maritim agar sentiasa mematuhi peraturan serta mengamalkan prosedur keselamatan di laut bagi mengurangkan risiko insiden yang tidak diingini.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kehilangan vesel ini atau sebarang kecemasan di laut diminta segera menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu di talian 086-314 254 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544.
|