Nanta (dua kiri) meninjau lokasi tanah runtuh di Jalan Song-Temalat-Kanowit.
SONG: Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi semalam telah melakukan tinjauan ke lokasi tanah runtuh di Jalan Song-Temalat-Kanowit di sini yang terjejas teruk akibat hujan berterusan sejak beberapa hari lalu.
Menurut beliau, keadaan di lokasi tersebut amat membimbangkan berikutan runtuhan tanah yang menutup laluan utama.
Beliau turut mengarahkan pasukan Jabatan Kerja Raya (JKR) melakukan pemantauan berterusan terhadap pergerakan tanah di kawasan tersebut bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini yang boleh membahayakan nyawa orang awam.
"Kerja-kerja pembaikan perlu dilaksanakan segera kerana laluan ini merupakan salah satu laluan utama yang digunakan oleh pengguna jalan raya di sini. Keutamaan kita adalah keselamatan pengguna jalan raya," ujar beliau dalam satu kenyataan.
Nanta (empat kanan), Jamit (tiga kanan) dan Lidam (dua kanan) mendengar taklimat yang disampaikan pihak JKR.
Tanah runtuh yang menjejaskan Jalan Song-Temalat-Kanowit.
Sementara itu, laluan lencongan sementara telah disediakan untuk kegunaan kenderaan ringan dan kecil.
JKR juga telah diminta oleh Nanta untuk memasang papan tanda serta arahan lalu lintas dengan jelas di kawasan lencongan bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pasukan yang terlibat dalam mengambil tindakan segera di kawasan yang terkesan dengan bencana ini.
Turut mengiringinya dalam tinjauan tersebut ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk Jefferson Jamit Unyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas Lidam Assan.
Pihak JKR membina lencongan di jalan tersebut.
|