Uggah berkesempatan meninjau kaunter kakitangan perubatan yang turut mengadakan rawatan kepada mangsa banjir di Dewan Ranchan,hari ini. - Gambar Chimon Upon
Sementara itu di Bintulu kata Uggah, keadaan banjir di bahagian itu telah surut sepenuhnya dan membolehkan penduduk mula melakukan kerja pembersihan.
Katanya beliau dimaklumkan oleh Residen Bintulu, yang menunjukkan bandar Bintulu kini sudah pulih sepenuhnya.
Namun ujar beliau, di kawasan pedalaman seperti di Sebauh, banjir masih berterusan dan beberapa jalan juga terputus.
“Kini Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang berusaha membaiki jalan-jalan yang rosak dan runtuh.
“Di Serian, saya dimaklumkan oleh jurutera bahawa terdapat 20 lokasi telah rosak (terjejas) dan kita telah mengarahkan JKR untuk melakukan kerja pembaikan supaya keterhubungan untuk rakyat tidak terganggu,” tegasnya.
Dalam pada itu beliau berkata sehingga kelmarin (Jumaat), sebanyak 63 PPS masih dibuka di tujuh bahagian di Sarawak, menampung 12,692 mangsa banjir daripada 3,696 keluarga.
Katanya laporan terkini dari lapangan mendapati semua PPS beroperasi dengan lancar dengan setiap daripadanya dilengkapi barang keperluan seperti tilam, selimut, bantal dan makanan.
Selain itu ujar beliau terdapat juga wakil dari Jabatan Kesihatan yang membantu memberi rawatan kepada mangsa yang sakit.
“Selain itu hari ini saya juga diberitahu, Jabatan Kebajikan Masyarakat akan menghantar bekalan makanan ke Kampung Merakai, sebuah kampung terpencil yang terjejas akibat banjir di bahagian Serian.
“Kami juga memantau kampung terpencil untuk memastikan mereka menerima bekalan makanan, kerana menjadi tanggungjawab JPBNS untuk memastikan bantuan sampai kepada mereka,” katanya.
Bagaimanapun kata Uggah, jika paras air semakin meningkat para penduduk di kawasan terjejas diarah untuk berpindah.
“Namun setakat ini, tiada kampung baharu di bahagian ini (Serian) yang dilaporkan terjejas akibat banjir,” katanya.