Banjir yang melanda Bintulu adalah yang terbesar, sangat mencabar terutama dalam usaha menyelamat mangsa
![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250201/kch-ub010225-at-tpmbanjir-p1.jpg)
Fadillah melawat PPS Dewan Haji Kamaruddin Kampung Segedup di Kuching. Gambar PENERANGAN
“Kita memang sudah biasa dengan banjir tetapi tidak sebesar yang berlaku di Bintulu pada ketika ini dan usaha menyelamat menjadi sukar kerana mangsa berpindah serentak dengan logistik yang terhad.”
Dato Sri Fadillah Yusof Timbalan Perdana Menteri
Oleh Agnes Tugong
KUCHING: Jentera kerajaan, agensi penguat kuasa dan penyelamat termasuk masyarakat perlu lebih bersedia menghadapi bencana banjir pada masa akan datang.
Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata banjir yang melanda Bintulu ketika ini adalah yang terbesar dan sangat mencabar terutama dalam usaha menyelamat mangsa.
“Kita memang sudah biasa dengan banjir tetapi tidak sebesar yang berlaku di Bintulu pada ketika ini dan usaha menyelamat menjadi sukar kerana mangsa berpindah serentak dengan logistik yang terhad.
“Tetapi mereka dapat tanganinya dengan penglibatan semua pihak dan saya ucapkan terima kasih kepada semua atas semangat ini termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menghulurkan bantuan makanan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Haji Kamaruddin Kampung Segedup di sini hari ini.
Mengulas mengenai situasi di PPS tersebut yang dibuka dalam kawaan Parlimen Petra Jaya, Fadillah berkata mangsa yang ditempatkan di PPS itu dijaga dengan baik dari segi kelengkapan, makanan termasuk kesihatan.
PPS Dewan Haji Kamaruddin Kampung Segedup dibuka pada 29 Januari dan menempatkan seramai 60 mangsa dari Kampung Segedup dan Kampung Surik dan ditutup semalam selepas banjir pulih.
“Kita bersyukur keadaan banjir beransur pulih dan air pasang besar juga telah selesai dan kita berdoa semoga tidak akan ada berlaku banjir lagi.
“Sesiapa yang perlukan bantuan untuk membersih kediaman dan tidak ada kemampunan boleh berhubung dengan sekretariat atau pihak Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) kawasan masing-masing dan kita akan sediakan sukarelawan untuk membantu,” katanya.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Tranformasi Air turut menggesa mangsa banjir untuk berdaftar dengan pejabat daerah bagi membolehkan bantuan disalurkan dalam tempoh pascabanjir.
Dalam pada itu selesai lawatan di PPS Dewan Haji Kamaruddin di Kampung Segedup, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya meneruskan lawatan ke PPS Kampung Sejijak sebelum ke Serian.
|