John (tengah) bersama rombongan mengadakan lawatan ke PPS untuk meninjau keadaan mangsa banjir agar sentiasa terpelihara.
KUCHING:Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja John Ilus meneruskan siri tinjauan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi memastikan kebajikan mangsa banjir di kawasan terjejas terus terpelihara.
Beliau menerusi kenyataan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) telah mengadakan lawatan ke PPS Dewan Pak Kung dan PPS Gelanggang Futsal Tertutup Serian kelmarin.
John turut diiringi Ketua Pemuda PBB Cawangan Bukit Semuja Albert Andrew serta ahli jawatankuasa kampung (AJK) Kampung Hulu.
Turut serta dalam tinjauan itu adalah pasukan penyelamat yang memantau keadaan banjir terkini.
Selain meninjau keadaan PPS, beliau turut menaiki bot bersama rombongan bagi meninjau situasi di Kampung Hulu dan Kampung Hilir Serian yang masih terjejas akibat banjir.
Dalam pertemuan dengan mangsa-mangsa banjir di PPS, beliau mendengar keluhan penduduk yang terjejas serta memastikan keperluan asas seperti makanan dan tempat perlindungan mencukupi.
Menurut laporan terkini setakat jam 6 petang pada 1 Februari 2025, seramai 26 mangsa banjir ditempatkan di PPS Dewan Pak Kung manakala 143 orang berada di PPS Gelanggang Futsal Tertutup.
Pihak berkuasa juga menyeru penduduk yang menetap di kawasan rendah agar terus berwaspada dan mematuhi arahan keselamatan berikutan cuaca yang tidak menentu.
|