
TEGAS... Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng.
KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) bercadang untuk memperkasakan penguatkuasaan terhadap aktiviti penyambungan bangunan secara haram.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng, berkata isu ini telah dikenal pasti sebagai punca utama berlakunya banjir, yang mengganggu sistem perparitan sedia ada, terutama di kawasan perumahan.
“Orang ramai yang ingin melakukan penyambungan bangunan secara haram diharap mempertimbangkan semula tindakan mereka agar tidak menjejaskan sistem perparitan yang sedia ada, kerana ia boleh mengundang bahaya.
“Tahun ini, kita akan memberi perhatian lebih kepada isu ini dengan mewajibkan mereka yang melakukan penyambungan haram untuk menyerahkan pelan bangunan asal mereka.
“Pelan tersebut perlu mematuhi ordinan bangunan dan undang-undang sedia ada,” katanya ketika ditemui pemberita di bangunan MBKS di Padungan, hari ini. Wee menegaskan bahawa mana-mana individu yang tidak mematuhi arahan boleh dikenakan tindakan tegas.
Tindakan mengubah suai secara sembarangan boleh mengakibatkan insiden banjir yang lebih serius.
“Langkah terakhir yang mungkin kita ambil ialah membatalkan permit menduduki (OP), tetapi kita akan cuba untuk berkompromi kerana kita ingin mengelakkan situasi tersebut.
“Jika OP dibatalkan, pemilik perlu mendapatkan kelulusan semula daripada pihak bomba, memohon semula, dan akan melalui proses yang panjang.
Kehilangan OP juga akan menyebabkan mereka tidak diberi pinjaman oleh pihak bank,” tegas beliau.
Wee juga menekankan bahawa masyarakat perlu bertolak ansur dan memikirkan keselamatan orang lain yang akan terjejas.
“Jika ada sebarang perancangan untuk menyambung bangunan, sila maklumkan kepada kami agar kita boleh membantu memastikan ia dilakukan dengan cara yang betul.
“Hal ini kerana struktur asas dan kekuatan tanah mungkin perlu diteliti semula untuk memastikan ia mampu menampung beban tambahan,” katanya.
|