Buruh tak mengaku rogol anak tiri
MOHD ISKANDAR OTHMAN
04 Februari 2025 10:23am

Tertuduh diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Butterworth, pada Selasa.
BUTTERWORTH - Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan merogol anak tirinya berusia 14 tahun pada Oktober tahun lalu.
Tertuduh berusia 53 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu sebagai orang yang mempunyai hubungan amanah iaitu bapa tiri, didakwa melakukan amang seksual fizikal dan merogol mangsa ketika itu berusia 14 tahun.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di sini, pada 7 Oktober tahun lalu antara jam 10.30 malam hingga 11.30 malam.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun serta sebatan.
Pendakwaan kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Timbalan Pendakwa Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu Muhammad Rifaie tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh atas beberapa faktor termasuk demi keselamatan mangsa memandangkan mereka tinggal di rumah yang sama.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan kes ditetapkan untuk sebutan serahan dokumen pada 4 Mac depan.
https://www.sinarharian.com.my/article/710704/berita/semasa/buruh-tak-mengaku-rogol-anak-tiri
|