2 kali harga lantai padi naik bukti kerajaan peka keluhan pesawah - Fahmi Zainol
Oleh Siti Aminah Mohd Yusof - Februari 5, 2025 @ 4:24pm [email protected]

Foto hiasan. - NSTP
GEORGETOWN: Pengumuman kenaikan harga lantai padi baharu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap keluhan golongan pesawah di negara ini, kata EXCO Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan Pulau Pinang, Fahmi Zainol.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak itu berkata, keputusan itu turut menyaksikan harga lantai padi dinaikkan sebanyak dua kali pada zaman pentadbiran Kerajaan MADANI, dengan kali pertama pada 2023 dan terkini tahun ini.
"Ini adalah bukti kesungguhan kerajaan dalam memastikan kelangsungan sektor pertanian negara dan menjamin kesejahteraan golongan pesawah.
"Berita baik ini merupakan kali kedua harga lantai belian padi dinaikkan semasa zaman Kerajaan MADANI yang ternyata peka dan prihatin terhadap suara petani khususnya pesawah.
"Alhamdulillah, inilah kerajaan yang benar-benar mendengar keluhan golongan petani dan mengambil berat dengan kesusahan mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.
Fahmi turut menyambut baik terhadap komitmen kerajaan yang memperuntukkan subsidi RM150 juta bagi tempoh enam bulan, supaya kos pengguna dapat ditampung, berikutan kenaikan harga lantai belian padi.
Semalam, Perdana Menteri di Dewan Rakyat berkata kenaikan harga lantai padi pada kadar munasabah itu bakal diperincikan secara lanjut oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan tambahan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang menggesa kerajaan menaikkan harga lantai padi seperti mana terkandung dalam memorandum Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH).
Tuntutan itu disenarai PeSAWAH melalui memorandum yang diserahkan kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) hari ini, dengan satu lagi isu membabitkan bantahan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Benih Tanaman.
Pada 27 Januari lalu, PeSAWAH membangkitkan dua isu antaranya mempertimbang supaya kerajaan menaikkan harga lantai padi daripada RM1,300 per tan kepada RM1,800.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/02/1357740/2-kali-harga-lantai-padi-naik-bukti-kerajaan-peka-keluhan-pesawah
|