
Tengku Anis (baris kedua, tujuh kanan) berkenan merakamkan kenangan ketika mengunjungi Kampung Budaya Sarawak, hari ini. - Gambar Penerangan
KUCHING: Lawatan Raja Perempuan Kelantan Tengku Anis Almarhum Tengku Abdul Hamid ke Kampung Budaya Sarawak (SCV) hari ini mencerminkan keprihatinan baginda terhadap kepelbagaian budaya dan warisan negara, sekali gus mengeratkan hubungan antara rakyat Kelantan dan Sarawak.
Menurut satu kenyataan, keberangkatan tiba baginda serta rombongan diiiringi oleh Pengerusi Persatuan Wanita Kuching (WANISA) Datin Ayu Kartina Abdullah dan disambut Pengurus Besar SCV Jane Lian Labang.
Dalam sesi lawatan, Raja Perempuan Kelantan berkesempatan meninjau rumah-rumah tradisional kaum-kaum di Sarawak, seperti rumah panjang Iban, rumah Bidayuh, Orang Ulu, Melanau, Melayu dan Cina.
Selain itu, baginda turut berkenan menyaksikan persembahan kebudayaan menarik pelbagai etnik di Sarawak yang dipersembahkan oleh artis budaya SCV.
Lawatan berakhir dengan sesi santapan sebelum baginda dan rombongan berangkat pulang. Turut berangkat ialah adinda Raja Perempuan Kelantan Tengku Kesoma Mastika Tengku Anisah Almarhum Tengku Abdul Hamid dan Tengku Aniza Almarhum Tengku Abdul Hamid serta Penasihat WANISA Toh Puan Hayati Ahmat.
Esok, baginda serta rombongan dijadualkan untuk mengunjungi kedai Kek Lapis Warisan pada sebelah pagi, diikuti dengan menaiki Sarawak Night River Cruise untuk menikmati keindahan Bandaraya Kuching pada waktu malam.
|