![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250207/img3584.jpg)
Watson (tengah) melawat reruai pempamer Program My University, My Choice Yayasan Sarawak di Hikmah Exchange Event Centre, Kuching hari ini. - Gambar Chimon Upon
KUCHING: Inisiatif wang saku untuk pelajar Sarawak yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam Malaysia mungkin akan dilaksanakan pada April ini.
Timbalan Pengarah Yayasan Sarawak Watson Chunggat Leonard Doo berkata, mekanisme untuk mengagihkan wang saku itu belum dimuktamadkan.
"Kemungkinan besar ia akan bermula pada April tahun ini, tetapi mekanismenya belum bersedia.
"Apabila sudah siap, kami akan mengadakan jerayawara dan inisiatif itu akan dimulakan selepas itu," ujarnya kepada pemberita selepas melancarkan Program My University, My Choice Yayasan Sarawak di Hikmah Exchange Event Centre di sini, hari ini.
November lalu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, semua pelajar Sarawak di IPT seluruh Malaysia akan menerima wang saku RM1,200 daripada kerajaan negeri.
Beliau berkata, bantuan khas kewangan itu diperkenalkan dalam Belanjawan Negeri 2025 untuk pelajar membeli makanan dan barangan keperluan bagi mengurangkan kos sara hidup mereka.
Sementara itu, menerusi laman web Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak, dinyatakan bahawa inisiatif wang saku itu adalah untuk pelajar Sarawak yang melanjutkan pengajian diploma atau ijazah sarjana muda di Malaysia.
Mereka akan menerima RM1,200 setiap tahun dalam dua fasa melalui e-dompet S Pay Global.
Laman web itu menambah, sistem aplikasi dalam talian untuk inisiatif itu sedang dalam pembangunan dan dijangka akan dilancarkan pada April ini.
Sementara itu, Watson berkata Program My University, My Choice bertujuan menggalakkan pelajar mengikuti pengajian tinggi atau teknikal di institusi milik Kerajaan Sarawak.
Beliau berkata, program itu turut memberi penerangan mengenai bantuan kewangan dan perkhidmatan yang disediakan oleh Yayasan Sarawak, termasuk biasiswa dan program peningkatan bahasa Inggeris selama sebulan secara percuma di mana-mana institusi milik Kerajaan Sarawak.
Institusi tersebut ialah Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, Universiti Curtin Malaysia, Universiti Teknologi Sarawak, Kolej Universiti i-CATS, Kolej Laila Taib dan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS).
|