
TAHAN: Polis menahan suspek warga tempatan di kawasan Felda Umas, kira-kira jam 4 petang Jumaat.
TAWAU: Seorang lelaki tergamak mengugut untuk membakar rumah bapanya di Felda Umas, di sini, Rabu lalu.
Kejadian berlaku kira-kira jam 11 malam apabila suspek berusia 30-an dikatakan tiba-tiba mengamuk dan bertengkar sebelum mengugut akan membakar rumah yang didiami.
Bimbang dengan ugutan itu, bapanya berusia lingkungan 60-an membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, susulan laporan yang dibuat, polis menjalankan operasi bagi mengesan suspek terbabit.
"Suspek warga tempatan berjaya ditahan polis di kawasan Felda Umas, kira-kira jam 4 petang Jumaat.
"Suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan media di sini.
Menurutnya, hasil semakan rekod jenayah lampau juga mendapati suspek terbabit dengan pelbagai kes membabitkan dadah dan jenayah di sekitar negeri ini.
"Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah," katanya.
|