
RASMI: Joniston (tiga kanan) bersama tetamu kehormat lain menyempurnakan majlis berkenaan.
KOTA KINABALU: Lembaga Pelancongan Sabah (STB) menjalin kerjasama dengan Persatuan Orang Pekak Sabah Kota Kinabalu bagi memastikan sambutan Lampoopalooza dapat diakses semua pihak.
Lampoopalooza kembali menghangatkan ibu negeri dengan sambutan kreativiti, inovasi dan cahaya lampu yang ditumpukan di bangunan bersejarah STB di Jalan Gaya.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Christina Liew berkata, beliau menekankan kepentingan untuk menjadikan acara pelancongan inklusif diakses semua pihak.
“Kami amat berbangga dapat bekerjasama dengan Persatuan Orang Pekak Sabah Kota Kinabalu tahun ini dalam memastikan sambutan ini disambut dan dinikmati oleh semua orang,” katanya ketika merasmikan majlis berkenaan.
Teks ucapannya disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi STB, Datuk Joniston Bangkuai.
Christina berkata, acara Lampoopalooza juga turut disertai pelajar dari Politeknik Kota Kinabalu yang membuka gerai untuk menjual makanan dan minuman kepada para pengunjung “Pelajar ini adalah sebahagian daripada Program Sijil Khas Operasi Katering Politeknik Kota Kinabalu, iaitu sebuah program khas yang menawarkan pelajar pekak dan kurang pendengaran peluang untuk memulakan kerjaya dalam bidang katering.
“Kita memuji penyertaan pelajar ini dalam program seumpama ini kerana ia bukan sahaja meningkatkan pengalaman tetapi juga menyediakan peluang membina kerjaya yang berharga,” katanya.
Christina berkata, acara ini juga menonjolkan kejayaan berterusan yang direkodkan Sabah dalam sektor pelancongan. Menurutnya, Sabah merekodkan lebih 3.14 juta ketibaan pelancong pada 2024, melepasi sasaran tiga juta dengan 1.26 juta pelawat antarabangsa dan 1.88 juta pelancong domestik yang menjana anggaran RM7.28 bilion dalam penerimaan pelancong.
“Jumlah ini membuktikan daya tarikan Sabah sebagai destinasi pelancongan selain mencerminkan usaha semua pihak dalam sektor pelancongan, pada masa sama, ia turut menambah keyakinan pelawat yang datang ke Sabah yang indah ini,” katanya.
Sejak diwujudkan katanya, Lampoopalooza memainkan peranan penting dalam menghidupkan semula Jalan Gaya, iaitu kawasan bersejarah yang kini berubah menjadi hab kafe, restoran dan hotel.
Acara itu mula dilakukan pada 2018 apabila STB meraikan ulang tahun ke-100 khususnya bangunanya yang bersejarah, pelbagai acara menarik berkonsepkan seni jalanan dilaksanakan sekali gus memberi inspirasi penganjuran program itu secara tahunan.
"Kini dalam edisi ketiganya, Lampoopalooza berkembang melangkaui inovasi artistik untuk menggabungkan tanggungjawab sosial.
"Penekanan tahun lepas terhadap penglibatan komuniti memperoleh anugerah Penglibatan Komuniti Terbaik STB di Anugerah Media Harian.
“Dengan inisiatif seperti Lampoopalooza, kita berhasrat untuk menjadikan Bandaraya Kota Kinabalu lebih bertenaga dan mesra kepada semua.
“Acara seperti ini membantu mencipta kenangan yang tidak dapat dilupakan sambil memperkasakan penglibatan masyarakat,” katanya.
Acara Lampoopalooza turut dimeriahkan dengan persembahan artis tempatan termasuk Isobahtos, DJ Yohan, Maasmona, Dabra Sia dan Tuni Sundatang.
Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Josie Lai dan Ketua Pegawai Eksekutif STB Julinus Jeffrey Jimit.
|