
KUCHING: Keadaan banjir di Sarawak semakin pulih dengan dua lagi pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup hari ini, sekali gus 21 PPS masih aktif.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), setakat jam 12 tengah hari ini, seramai 3,473 mangsa masih ditempatkan di 19 PPS banjir.
Di Bintulu, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di lima PPS yang masih dibuka, kini hanya seramai 1,849 mangsa.
Manakala di Sibu, masih terdapat seramai 737 mangsa banjir yang ditempatkan di lima PPS yang masih dibuka.
Di Mukah pula, terdapat empat PPS yang masih dibuka, menempatkan seramai 613 mangsa manakala di Miri, terdapat lima PPS masih aktif, menempatkan 274 mangsa.
Lain-lain bahagian, Kuching, Samarahan, Serian, Betong, Sarikei dan Kapit masing-masing telah pulih daripada banjir dengan semua PPS telah ditutup sepenuhnya.
Dalam pada itu selain PPS banjir, turut dibuka sebuah PPS tanah runtuh di Miri yang menempatkan seramai 150 mangsa.
Manakala sebuah lagi PPS kebakaran dibuka di Sibu, menempatkan seramai 35 mangsa.
|