
Anggota bomba melakukan pemantauan banjir di tebingan Batang Rajang di Bintangor, malam Jumaat.
BINTANGOR: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor akan terus melakukan pemantauan ke atas lokasi berisiko banjir di sini.
Ketua BBP Bintangor Mahmudin Narudin berkata, tumpuan akan diberikan ketika hujan lebat dan pertembungan dengan air pasang besar.
"Cuaca baik dan paras air didapati surut ketika anggota kita melakukan rondaan dan pemantauan di tebingan Batang Rajang pada jam 9 malam tadi," katanya kepada media hari ini.
Pemantauan tersebut katanya, dilakukan oleh dua anggota bomba dengan menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda jabatan.
Sehubungan itu, Mahmudin mengingatkan penduduk di kawasan rendah dan berisiko banjir agar menghubungi pihak bomba jika paras air di kawasan mereka naik dari paras biasa dan secara mendadak.
"Pihak bomba akan sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan banjir di kawasan berisiko.
"Penyampaian maklumat pantas daripada penduduk akan membolehkan pihak bomba bergerak ke lokasi dengan segera bagi memindahkan penduduk terjejas ke kawasan selamat sekiranya keadaan air naik dan bertambah risiko bahaya.
"Pihak kita juga ingin mengingatkan penduduk terutamanya pada 11 Februari (Selasa) agar berwaspada kerana pada tarikh tersebut akan berlakunya air pasang besar," ujar Mahmudin lagi.
|