
Dr Sim (enam kiri) mengetuai laungan Sa'ati pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina SUPP Cawangan Bukit Assek serta Majlis Angkat Sumpah Jawatankuasa Eksekutif, Wanita, Belia, dan Belia Muda (2025-2027) cawangan itu di Sibu, tengah hari tadi.
SIBU: Semua pihak diseru untuk terus bersatu padu dan memberikan sokongan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi memastikan pembangunan Sarawak yang lebih pesat.
Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, Sarawak telah berkembang pesat dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini hasil komitmen para pemimpinnya.
"Kita mencapai pembangunan pesat kerana kita (Sarawak) mempunyai kestabilan, kita tidak bergaduh.
"Oleh itu, adalah penting bagi Sarawak untuk terus bersatu dan mengekalkan keharmonian demi memastikan pembangunan terus berjalan lancar," ujarnya.
Dr Sim berkata demikian pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina SUPP Cawangan Bukit Assek dan Majlis Angkat Sumpah Jawatankuasa Eksekutif, Wanita, Belia dan Belia Muda (2025-2027) cawangan itu, tengah hari tadi.
Dr Sim menyaksikan upacara Angkat Sumpah Pelantikan Jawatankuasa Eksekutif, Wanita, Belia, dan Belia Muda (2025-2027) SUPP Cawangan Bukit Assek di Sibu, hari ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng Jin Ek memberitahu, kawasan DUN Bukit Assek telah menerima projek bernilai RM20 juta di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) sejak tahun 2022.
Katanya, ini termasuk 159 projek penambahbaikan dan pembangunan untuk kawasan tersebut.
"Selain itu, terdapat pelbagai dana untuk membantu membaiki rumah golongan B40. Kami turut menyediakan insentif kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM, STPM, dan UEC," jelasnya.
Pada tahun ini katanya, beliau akan memberi tumpuan kepada projek pembangunan semula Bukit Assek serta projek mitigasi banjir di Sentosa.
Pada majlis itu, Datuk Chieng Buong Toon dipilih semula sebagai pengerusi bagi penggal baharu.
Turut hadir ialah isteri Dr Sim Datin Amar Enn Ong, Timbalan Menteri Kesihatan Awam dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang, Ketua Pemuda SUPP Pusat dan Pengerusi SUPP Cawangan Bawang Assan Kaunselor Kevin Lau, Pengerusi SUPP Cawangan Pelawan Clarence Ting dan Pengerusi SUPP Cawangan Dudong Wong Ching Yong.
|