Edited by sfhzuraz at 10-2-2025 06:15 PM
JBPM Kedah laksana program ‘wellness hub’ pantau BMI anggota bomba
ROSLINDA HASHIM
10 Februari 2025 02:49pm

Awang Hidzel (kiri) menyampaikan sijil penyertaan program ‘wellness hub’ kepada anggota JBPM Kedah pada Isnin.
ALOR SETAR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah antara negeri terawal melaksanakan program ‘wellness hub’ bagi memastikan anggotanya menepati syarat indeks jisim badan (BMI) yang ditetapkan untuk menikmati kenaikan pangkat.
Pengarah JBPM Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Awang Hidzel Awang Bujang berkata, program berkenaan sudah dilaksanakan beberapa kali di ibu pejabat JBPM Kedah dan akan diperluaskan ke Langkawi.
Menurutnya, penyertaan anggota JBPM Kedah amat menggalakkan dan program berkenaan berjaya mencapai sasaran ditetapkan.
“Kita pertingkatkan kekuatan anggota memperkenalkan ’wellness hub’ dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan beberapa agensi.
“Menerusi program itu, ramai anggota telah berjaya menurunkan berat badan kepada berat badan ideal yang ditetapkan dan lebih cergas dalam melaksanakan tugas,” katanya pada sidang media sempena perhimpunan tahunan 2025 JBPM Kedah di sini pada Isnin.
Awang Hidzel berkata, biarpun ia hanya membabitkan sejumlah anggota JBPM Kedah, ia wajar diberikan penekanan agar dapat menyediakan khidmat terbaik kepada masyarakat.
“Masalah ini tidak terlalu serius tetapi tetap ada, namun tidak menjejaskan secara keseluruhan. Ada yang obes dan kita arahkan untuk mengikuti program berkenaan namun ada yang tidak dapat meneruskan atas faktor kesihatan, seperti berusia.
“Sebahagian ada yang hampir usia pencen dan agak sukar untuk kita berikan motivasi namun masih dalam kawalan,” ujarnya.
Menurutnya, program berkenaan memberi manfaat bukan sahaja kepada anggota terlibat untuk kekal sihat dan cergas malah orang awam beroleh khidmat lebih baik berbanding ketika mereka dikategorikan obes.
“Program ini tidaklah kejam (seperti diperkatakan sesetengah pihak). Namun perlu ada ketegasan dan disiplin namun pada masa sama kita menghormati sekiranya anggota terlibat mengalami masalah kesihatan.
“Mereka yang tiada alasan munasabah (seperti sakit), kita tidak akan berikan rujukan atau pengiktirafan seperti Anugerah Perkhidmatan Cemerlang,” katanya.
Awang Hidzel memaklumkan, terbaharu seramai 60 anggota JBPM Kedah menyertai program berkenaan yang mana 51 daripadanya berjaya mencapai sasaran menurunkan berat badan.
“Program ini mencapai kejayaan 85 peratus dan ada lima peserta berjaya menurunkan berat badan dengan drastik sehingga 18 kilogram. Penurunan berat badan ini dicapai dengan menjaga pemakanan, diet sihat serta senaman,” katanya lagi.
Pada 16 Januari lalu, Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain mengumumkan syarat BMI sebagai antara kriteria yang ditambah dalam proses kenaikan pangkat pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Syarat berkenaan bagi memastikan keadaan kesihatan pegawai dan anggota pasukan berada pada tahap optimum, sekali gus meningkatkan keupayaan memberi perkhidmatan kepada masyarakat dan negara.
Penambahan syarat lebih ketat itu adalah bagi memperkasakan proses kenaikan pangkat agar lebih telus, adil dan memberi peluang sama rata kepada setiap pegawai dan anggota yang layak.
Sementara Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memaklumkan, anggota JBPM sudah mengamalkan dasar BMI kurang daripada 30 untuk kenaikan pangkat, dan akan mengadakan perbincangan lanjut supaya syarat itu diketatkan kepada BMI 28, sebagaimana dilaksanakan PDRM.
Katanya, perkara itu akan dibincangkan secara terperinci bersama Ketua Pengarah JBPM pada 2026.
https://www.sinarharian.com.my/article/711903/edisi/utara/jbpm-kedah-laksana-program-wellness-hub-pantau-bmi-anggota-bomba
|