![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250213/ubowebfiller1.jpg)
KUCHING: Pelajar SMK Bario yang menamatkan pengajian tingkatan tiga kini boleh melanjutkan pelajaran di peringkat menengah di sekolah sama tanpa perlu berpindah ke sekolah di daerah lain seperti Marudi dan Marudi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu Datuk Gerawat Gala berkata, perkara itu dapat dilakukan selepas Kementerian Pendidikan memberi lampu hijau supaya sekolah menengah itu dinaik taraf termasuk mengadakan kelas tingkatan empat dan lima.
"Jadi untuk tahun ini, pelajar tingkatan tiga yang lepas akan memulakan kelas tingkatan empat apabila penggal baharu bermula," katanya kepada media semasa temu bual di pejabatnya di Bangunan Baitul Makmur I di sini hari ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) itu berkata, beliau telah berbincang dengan pengetua dan guru SMK Bario serta pegawai pendidikan daerah mengenai persiapan untuk memulakan kelas tingkatan empat mereka di situ.
"Mereka mempunyai bilik darjah untuk belajar serta bilik asrama sebagai tempat tinggal...bagaimanapun kami harus menyediakan bilik kelas dan asrama baharu sebagai tambahan sebagai persediaan untuk pelajar tingkatan empat kini yang akan melangkah tingkatan lima selain kumpulan baharu tingkatan empat," katanya.
Gerawat berkata, hasratnya SMK Bario untuk menawarkan kelas tingkatan empat dan lima adalah sesuatu yang amat perlu dan mengujakan apabila dapat menamatkan pendidikan di sekolah sama.
"Sejak ditubuhkan pada tahun 1960-an, SMK Bario hanya menerima pelajar tingkatan satu hingga tiga dan perlu melanjutkan pelajaran ke Marudi untuk tingkatan seterusnya.
"Selama setahun penuh kami terperangkap di Marudi dan hanya pulang ke kampung halaman semasa cuti akhir tahun.
"Mengimbas kembali, kami merasakan bahawa bagi pelajar sekolah luar bandar yang tidak banyak pendedahan di bandar adalah lebih baik mereka menamatkan pendidikan menengah di sekolah sekarang di mana mereka boleh juga matang sebelum keluar belajar di bandar besar," tegas Gerawat.
|