Edited by Vellfire at 15-2-2025 03:12 PM

HAJIJI
PETA jalan sektor perindustrian kian menapak dalam jajaran Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Terkini diumumkan sebuah taman perindustrian baharu bakal dibangunkan di Kudat, utara Sabah.
Ia sebagai tambahan kepada dua taman perindustrian sedia ada - Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Taman Perindustrian Gas dan Minyak Sipitang (SOGIP).
Justeru, sektor perindustrian -- satu daripada tiga bingkai SMJ -- diyakini bakal mengubah landskap ekonomi Sabah dalam tempoh sesingkat dua tahun lagi.
Ini kerana kewujudan taman perindustrian ketiga itu nanti akan menjadi magnet pelaburan baharu, menerusi kemitraan strategik pelabur luar dan tempatan.
Pemilihan Kudat sebagai lokasi baharu melengkapkan rangkaian jajaran taman perindustrian negeri Sabah, mengunjur dari Sipitang di pantai barat selatan, melewati Kota Kinabalu hingga ke hujung tanduk paling utara.
Melengkapkan lagi pembangunan taman perindustrian di Kudat adalah kemudahan pelabuhan di perairannya yang dalam dan boleh meningkat status antarabangsa, berikutan lokasi strategik di pertembungan Laut Sulu dan Laut China Selatan.
Kemudahan ini tentunya memperkuat sinergi sektor perindustrian ke arah pertumbuhan ekonomi lebih kukuh, bersama-sama dua lagi tunjang SMJ -- pertanian dan pelancongan.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Hj Noor menyatakan pembangunan taman perindustrian baharu di Kudat itu bertujuan menarik lebih ramai pelabur, sekali gus membangunkan kawasan di utara Sabah.
“Usaha ini bukan sahaja meningkatkan ekonomi negeri tetapi lebih penting berupaya memberi peluang pekerjaan kepada rakyat," katanya.
Hakikatnya, Hajiji telah menyediakan landasan kukuh membangunkan sektor perindustrian sejak awal mengambil alih kerajaan negeri pada 2020.
Secara konsisten sepanjang empat tahun ini, kerangka pembangunan ketiga-tiga bingkai SMJ ini -- iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan diberikan tumpuan dalam penyediaan belanjawan.
Terbaru menerusi Belanjawan 2025, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM838.42 juta, demi memastikan ia dapat memacu pembangunan ekonomi negeri.
Mendukung prinsip mesra pelabur, Sabah sehingga kini telah berjaya menarik beberapa syarikat gergasi asing, antaranya Syarikat SK Nexilis Malaysia Sdn Bhd dari Korea Selatan dan Kumpulan Kibing dari China, dengan nilai pelaburan masing-masing berjumlah RM4.28 bilion dan RM2.48 bilion.
Kedua-dua pelabur ini telah menghasilkan dan mengeksport produk mereka ke luar negara bermula pada hujung tahun 2023 bagi Syarikat SK Nexilis dan Kumpulan Kibing awal tahun lepas.
Pada 2024, Kumpulan Kibing melalui anak syarikatnya, SBH Kibing New Solar Energy (M) Sdn Bhd juga bersetuju untuk melabur kilang pembuatan kaca solar baharu dengan anggaran nilai pelaburan berjumlah RM7.2 bilion melalui tiga fasa pelaburan.
Pelaburan ini dijangka menyedia kira-kira 5,000 peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini. Pada masa yang sama, syarikat Kumpulan Kibing juga komited untuk meningkatkan kapasiti penghasilan kaca solar kilangnya di KKIP dengan penambahan `third production line'.
Anggaran nilai pelaburan tambahan adalah berjumlah RM700 juta sekaligus mewujudkan 600 tambahan peluang pekerjaan.
Yang nyata, usaha membangunkan sektor perindustrian di negeri ini telah membuahkan hasil. Terbukti dengan sumbangan sektor pembuatan di dalam KDNK Sabah yang meningkat kepada RM6.03 bilion bersamaan 7.3 peratus pada tahun 2023 berbanding RM5.78 bilion bersamaan 7.0 peratus pada tahun 2022.
Manakala kadar pertumbuhan bagi sektor pembuatan di Sabah pada tahun 2023 adalah sebanyak 4.4 peratus, mengatasi pertumbuhan purata sektor pembuatan nasional iaitu sebanyak 0.8 peratus.
Perangkaan ini sekali gus menjadikan kadar pertumbuhan sektor pembuatan di Sabah yang tertinggi di Malaysia.
|