
DARELL
KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Parti WARISAN, Darell Leiking menafikan dakwaan bahawa partinya telah mencapai persefahaman pilihan raya dengan Barisan Nasional (BN) Sabah seperti tersebar menerusi media sosial baru-baru ini.
Katanya, beliau menerima banyak panggilan dan mesej daripada pelbagai pihak sejak semalam yang ingin mengetahui kebenaran dakwaan itu.
"Saya ingin menegaskan bahawa tiada sebarang persefahaman pilihan raya dibuat antara WARISAN dan BN Sabah, termasuk dengan mana-mana parti politik lain yang melibatkan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Perkara ini, termasuk pandangan beberapa pihak yang mencadangkan agar WARISAN menjalin kerjasama pilihan raya, tidak pernah dibawa ke peringkat Majlis Tertinggi WARISAN mahupun Biro Politik untuk dibincangkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Darell turut menyifatkan dakwaan tersebut sebagai spekulasi biasa yang sering muncul menjelang pilihan raya.
Menurutnya, berdasarkan perkembangan politik semasa, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, berkemungkinan besar mengharapkan kerjasama dengan BN Sabah.
Ini kerana, katanya, ketika Persidangan Agung Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) ke-39 pada 29 Oktober 2024 di KDCA, Hajiji sendiri menyatakan GRS bersedia untuk berbincang mengenai kerjasama dengan BN Sabah.
“Melihat kepada kesediaan Pakatan Harapan (PH) Sabah untuk terus bersama dengan GRS, kita tidak terkejut jika Hajiji mahu BN Sabah turut serta dalam gabungan tersebut.
"Semua ini hanyalah untuk memastikan GRS terus memerintah negeri ini,” tambahnya.
Beliau menegaskan bahawa WARISAN tidak mempunyai sebarang persefahaman pilihan raya dengan BN Sabah atau mana-mana parti lain.
Sehubungan itu, beliau meminta rakyat negeri ini untuk tidak terpengaruh dengan spekulasi yang tidak berasas itu.
|