Edited by sfhzuraz at 28-2-2025 07:44 PM
Pulau Pinang lanjut pengecualian bayar tunggakan denda cukai tanah
MOHD ISKANDAR OTHMAN
28 Februari 2025 11:07am

Gambar hiasan.
GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan lanjutan tawaran pengecualian 100 peratus bayaran tunggakan denda cukai tanah dan cukai petak sehingga 31 Mei depan.
Pejabat Ketua Menteri dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan ketetapan itu diputuskan melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada awal minggu ini.
"Mengikut perangkaan daripada Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang mendapati bilangan pemilik petak strata yang tidak membayar cukai petak adalah amat tinggi iaitu berjumlah 86,337 akaun melibatkan nilai tunggakan RM13.9 juta.
"Daerah Timur Laut mencatatkan tunggakan cukai petak tertinggi di Pulau Pinang iaitu 37,400 pemilik petak masih mempunyai tunggakan bayaran cukai petak.
"Menjadi harapan kerajaan negeri agar semua pemilik tanah dan pemilik petak di Pulau Pinang dapat melangsaikan bayaran berkenaan," menurut kenyataan berkenaan.
Tambahnya, tawaran pengecualian 100 peratus tersebut diberikan secara automatik kepada semua pembayar cukai tanah serta petak dan turut dipanjangkan kepada pemilik tanah atau pemilik petak yang telah menerima Notis Denda 6A (cukai tanah) atau Notis Denda 11 (cukai petak).
Bagaimanapun, katanya, tawaran pengecualian dan pengurangan tunggakan cukai tanah serta cukai petak dinyatakan tidak dipanjangkan kepada pembayar yang membuat pembayaran secara ansuran.
Tawaran ini juga bukan berbentuk retrospektif serta tidak boleh dinikmati oleh pemilik tanah atau petak yang membuat pembayaran tunggakan denda lewat sebelum tarikh pengecualian dan pengurangan ini dikuatkuasakan," katanya lagi.
Dalam tempoh 2 Januari sehingga 21 Februari 2025, Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang melaporkan bahawa terdapat peningkatan bilangan pembayar cukai tanah dan cukai petak sebanyak 17,168 pemilik akaun iaitu meningkat 14 peratus berbanding tempoh sama bagi tahun 2024.
Dalam tempoh masa sama juga terdapat peningkatan sebanyak 25 peratus atau RM4.4 juta dalam nilai kutipan manakala jumlah pengecualian denda tunggakan cukai tanah serta petak juga telah meningkat sebanyak 46 peratus atau RM88,637.
Sebelum ini, kerajaan negeri bersetuju memberikan pengecualian tunggakan denda cukai tanah dan cukai petak sebanyak 100 peratus kepada semua pemilik tanah serta petak di negeri ini yang membuat bayaran cukai (tanah dan petak) masing-masing mulai 2 Januari sehingga 28 Februari 2025.
Malah, mesyuarat sama turut bersetuju memberikan pengurangan tunggakan denda cukai tanah dan cukai petak sebanyak 50 peratus kepada semua pemilik tanah serta petak yang membuat bayaran mulai 1 Mac sehingga 31 Mei 2025.
https://www.sinarharian.com.my/article/715217/edisi/utara/pulau-pinang-lanjut-pengecualian-bayar-tunggakan-denda-cukai-tanah
|