Edited by sfhzuraz at 1-3-2025 03:26 AM
Raja Perlis utus warkah tetapkan teks sahih Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa Melayu
AISYAH BASARUDDIN
28 Februari 2025 09:46pm

Zainul Rijal ketika program bahasa Kebangsaan sebagai Bahasa Mahkamah dan Ilmu anjuran DBP, pada Khamis.
SHAH ALAM - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalulail mengesahkan telah berkenan mengutuskan warkah kepada pihak berkuasa pada Januari lalu bahawa teks sahih Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa kebangsaan ditetapkan pada 29 September 2003.
Perkembangan terbaharu itu dimaklumkan kepada Penasihat Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar baru-baru ini memandangkan perundangan negara masih menggunapakai teks sahih dalam bahasa Inggeris.
Zainul Rijal berkata, pihaknya amat malu dengan situasi yang berlaku meskipun negara sudah mencapai kemerdekaan lebih 70 tahun.
Beliau turut mempersoalkan keengganan beberapa pihak untuk menggunakan bahasa Melayu di dalam mahupun di luar mahkamah.
Jika benar pada 2003 lampau, baginda yang ketika itu menjadi Yang di-Pertuan Agong menetapkan bahawa teks sahih Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa kebangsaan, mengapa sehingga kini kita enggan, gagal atau abaikannya?
“Bagaimanapun, saya tidak dimaklumkan sudah ada jawapan (maklum balas) berhubung warkah tersebut daripada pihak berkuasa. Mereka sepatutnya jawab dan tegaskan ada ketetapan atau tidak.
“Surat (warkah) tersebut sekarang berada di dalam salah satu daripada kertas klausa mahkamah dan ia akan dibicarakan tidak lama lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika program bahasa Kebangsaan sebagai Bahasa Mahkamah dan Ilmu anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pada Khamis.
Sebelum ini, PPMM menggesa supaya pemerkasaan bahasa Melayu dalam sistem perundangan diperluaskan ke peringkat tertinggi.
Presidennya, Muhamad Hisham Marzuki memaklumkan, ia termasuk penggunaan bahasa Melayu sepenuhnya dalam penghujahan lisan dan bertulis di semua peringkat mahkamah mahupun penulisan alasan penghakiman bagi kes yang diputuskan di Mahkamah Persekutuan serta Rayuan.
Jelasnya, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan diperincikan lagi dalam Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.
Zainul Rijal memberitahu, terdapat beberapa kes yang menggunakan bahasa Inggeris oleh peguam dengan alasan mahu menyampaikan hujah, menyediakan dokumentasi dan sebagainya demi kepentingan keadilan.
“Ini yang menjadi masalah kerana alasan ‘demi kepentingan keadilan’ itu ditafsirkan secara meluas.
“Sepatutnya tafsir dengan jelas keperluan untuk mengalihkan penggunaan bahasa kebangsaan kepada bahasa Inggeris,” ujar beliau.
https://www.sinarharian.com.my/article/715335/berita/nasional/raja-perlis-utus-warkah-tetapkan-teks-sahih-perlembagaan-persekutuan-dalam-bahasa-melayu
|