Edited by sfhzuraz at 1-3-2025 10:41 AM
Undang-undang terlalu longgar
ROSLINDA HASHIM
01 Mac 2025 08:40am

Laporan Sinar Harian berhubung skandal beras campur
ALOR SETAR - Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) disifatkan agak longgar dan perlu diperkemaskan bagi mencakupi kesalahan baharu seperti mencampurkan beras putih tempatan dengan beras import.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, pada masa sama kerajaan juga disaran meneliti polisi dalam mengimport beras bagi mengelak kejadian tersebut berulang.
Menurutnya, ini kerana beras yang diimport ke negara ini dikategorikan sebagai gred rendah dan kurang elok menyebabkan pengilang mencampurkan beras import dengan beras putih tempatan.
“Akta 522 tidak menyebut mengenai larangan untuk percampuran beras tersebut. Pengilang memang maklum berkenaan akta tersebut, jadi mereka sudah lama lakukan percampuran beras tersebut, seolah ia perkara normal.
“Sudah tiba masa beberapa klausa Akta 522 dilihat kembali atau diperkemaskan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Sebelum ini, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengesahkan bahawa analisis forensik DNA dapat membezakan dengan jelas antara beras putih tempatan dan beras import.
Dilaporkan kira-kira 40 hingga 50 peratus beras putih import (BPI) daripada 5,000 sampel yang dianalisis MARDI disahkan bercampur dengan beras putih tempatan (BPT).
Kajian menggunakan teknologi pencapjarian asid deoksiribonukleik (DNA) beras itu dijalankan sepanjang 2023 dan 2024.
Abdul Rashid berkata, untuk jangka pendek, kerajaan boleh menggunakan beberapa akta sedia ada untuk melengkapi Akta 522 agar tindakan tegas dikenakan terhadap pihak terlibat dalam percampuran beras tersebut.
“Antaranya akta bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang melibatkan penipuan bawah Seksyen 415 dan 420 Kanun Keseksaan, serta maklumat perdagangan palsu bawah Akta Perihal Dagangan 2011 selain Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Kawalan Harga dan Antipercatutan 2011,” ujarnya.
https://www.sinarharian.com.my/article/715357/berita/nasional/undang-undang-terlalu-longgar
|