MAS Imran menunjukkan ruangan minyak masak yang kosong berikutan kehabisan stok di cawangan di Permas Jaya. FOTO Mary Victoria Dass
Johor Bahru: Penduduk bandar raya ini yang berdepan isu kekurangan minyak masak paket sebelum ini kini turut mengalami masalah kesukaran bagi mendapatkan bekalan minyak masak botol.
Penduduk Mohd Nor Sagi, 75, dari Plentong berkata, bekalan minyak masak botol semakin sukar diperolehi termasuk di kedai runcit mahupun pasar raya sekitar bandar raya ini sejak awal tahun ini.
Menurutnya, keadaan itu menimbulkan kesulitan terutama menjelang Aidilfitri hingga menjejaskan persiapan.
"Sebelum ini hanya minyak masak peket tiada, kini minyak masak botol pula termasuk dari satu kilogram hingga lima kilogram turut sukar didapati kerana kehabisan stok.
"Disebabkan tiada pilihan, saya terpaksa membeli minyak sayuran yang jauh lebih mahal bagi kegunaan keluarga," katanya.
Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash and Carry, Mas Imran Adam berkata, bekalan minyak masak botol berkurangan sejak akhir tahun lalu.
"Bekalan minyak masak botol biasanya terhad atau kehabisan stok di seluruh cawangan kami di seluruh negara.
"Pada September lalu, kita dimaklumkan harga minyak masak satu metrik tan adalah RM4,000, namun kini satu metrik tan bernilai RM4,300 hingga RM4,500.
"Sejak peningkatan harga, kita dapati masalah bekalan minyak masak berlarutan. Malah pada Januari dan Februari lalu, kita hanya memperoleh bekalan 25 peratus sahaja daripada tempahan dilakukan," katanya.
Katanya, pelanggan termasuk peniaga makanan mengadu masalah bekalan ini menjejaskan operasi mereka.
"Sebelum ini, peniaga tidak digalakkan membeli minyak masak paket, namun masalah timbul apabila minyak botol juga tiada terutama ketika Ramadan. Harap perkara ini diberi perhatian," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han berkata, pihaknya belum menerima aduan rasmi berkaitan isu berkenaan.
"Kita sentiasa memantau perkara ini dan tindakan sesuai akan diambil," katanya ketika dihubungi.
|