|
Wacana sarankan keseimbangan sains dan sains sosial, maju dengan acuan sendiri\rWACANA Bahasa Kebangsaan di Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini, mengingatkan penilaian kemajuan berdasarkan sains dan teknologi semata-mata boleh meminggirkan bahasa dan budaya sekiranya dibuat oleh kelompok yang tidak berjiwa besar.\r\n\n\n\n\rSebaliknya wacana anjuran Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) itu, menyarankan keseimbangan antara sains dan teknologi dengan sains sosial dikembalikan khususnya di universiti, manakala keghairahan mengejar kemajuan tidak boleh membunuh bahasa Melayu, budaya dan sastera.\r\r\n\n\n\n\nWacana itu turut melihat kedudukan bahasa Melayu dalam bidang penyiaran dan komunikasi yang dianggap masih terikat dengan istilah dalam bahasa Inggeris meskipun sejarahnya di negara ini sudah bermula seawal dekad 1940-an lagi.\rPengarah Institut Islam Hadhari UKM, Prof Datuk Dr Mohd Yusof Othman, berkata senario dunia yang terlalu mementingkan sains dan teknologi menyebabkan ia digunakan sebagai kayu ukur, piawai dan penarafan terhadap apa-apa saja bidang.\r“Di institusi pengajian tinggi (IPT) umpamanya, hal ini bukan saja dapat dilihat pada hasilnya, bahkan jelas pada dana yang diperuntukkan.\r“Sebagai mantan Pengarah Pusat Pendidikan, saya melihat banyak sangat kajian dalam sains dan teknologi sehingga ia tidak seimbang dengan penyelidikan dalam bidang sains sosial,” katanya pada wacana yang dipengerusikan Pengarah ATMA, Prof Dr Abdul Latif Samian.\r\n\n\n\n\rProf Mohd Yusof mengakui dana yang diperlukan untuk kajian dalam sains dan teknologi besar kerana turut membabitkan peralatan yang mahal, tetapi jumlah, kesungguhan dan kepelbagaian kajiannya jauh melebihi penyelidikan sains sosial.\rBeliau turut menempelak pihak yang terlalu ghairah untuk memastikan semua kajian diterbitkan di jurnal antarabangsa tanpa mengira bidang penyelidikannya sama ada dalam sains atau sains sosial.\r“Tabii sains memang bersifat sejagat sehingga isunya juga universal seperti tenaga solar sebagai ganti kepada tenaga yang mencemarkan alam sudah tentu kajiannya daripada mana-mana negara pun sama.\r“Ini berbeza dengan isu dalam sains sosial seperti mat rempit kerana tujuan penyelidikannya bukanlah semata-mata menghasilkan kertas kerja, sebaliknya ia bermatlamat untuk menyelesaikan masalah,” katanya pada wacana yang turut disertai Timbalan Pengarah ATMA, Prof Dr Teo Kok Seong.\rSeandainya hasil penyelidikan itu diterbitkan di jurnal antarabangsa, Prof Mohd Yusof berkata, belum tentu pengkaji atau penyelidik dari Jepun atau AS akan membacanya.\rPada masa sama, beliau mengingatkan sifat sejagat sains dan teknologi tidak boleh sampai mematikan budaya, bahasa dan sastera kerana usaha pembangunan perlu dibuat dalam acuan sendiri.\r“Lebih teruk, keghairahan untuk diterima pada peringkat antarabangsa, menyebabkan kita (berasa) kena tinggalkan budaya, bahasa dan sastera kita.\r“Persoalan yang perlu kita jawab adalah benarkah tanggapan kita itu sehingga Jepun dan Korea sendiri membangun dengan cara itu,” katanya.\rPersoalan itu boleh dijawab, kata beliau, dengan melihat produksi kereta yang dulunya dipegang oleh Eropah dan Amerika Syarikat (AS), tetapi ia dikuasai oleh syarikat seperti Toyota, Mitsubishi dan Honda pada masa kini, manakala pengeluaran motosikal yang dulunya dipegang oleh BSA Group, pula didominasi syarikat seperti Honda, Kawasaki dan Yamaha.\rProf Mohd Yusof turut menempelak mereka yang mengambil nilai orang lain termasuk bahasa dan meninggalkan milik sendiri sebagai golongan yang kecil jiwanya.\r“Keghairahan kita mengguna pakai nilai sains semata-mata sebagai kayu ukur kemajuan menyebabkan kita merasakan apa-apa saja yang ada dalam diri dan bahasa orang lain itu hebat sedangkan jiwa dan bahasa kita tidak sebegitu.\r“Ini sebenarnya akan mengurang dan mengikis nilai yang hebat dalam bahasa dan jiwa kita yang sebenarnya sudah berlaku terhadap sumber alam kita sendiri apabila terpaksa bergantung dengan orang lain untuk menukarkannya kepada sumber berguna,” katanya.\rSekiranya Prof Mohd Yusof lebih melihat wacana bahasa kebangsaan dalam konteks akademik, Pengarang Urusan Bernama Radio24, Mohamad Letfee Ahmad pula menyorot penggunaannya dalam konteks penyiaran.\rMeskipun penyiaran memiliki ramai pakar teknikal, Mohamad Letfee mengakui bidang itu sebenarnya kekurangan pakar dalam bahasa sehingga menyebabkan banyak isu kesilapan dan kelemahan dalam berbahasa timbul sama ada dalam media cetak atau elektronik.\r“Walaupun sejarah penyiaran di Malaysia sudah lama yang bermula sejak 1946 lagi, kita masih menggunakan istilah dalam bahasa Inggeris.\r“Itu suatu dilema kepada kami dan ia turut dialami dalam pengajian bidang penyiaran dan komunikasi di IPT yang terpaksa menggunakan istilah dalam bahasa Inggeris,” katanya.\rBeliau berkata, hal yang sama juga boleh dilihat pada penulisan skrip sehingga kita melihat ia menggunakan dialog dalam bahasa Melayu tetapi arahan masih mengguna pakai istilah dalam bahasa Inggeris.\r“Seolah-olah kita tidak memiliki bahasa Melayu yang kuat untuk menggambarkan istilah dalam penyiaran dan penulisan skrip.\r“Walaupun ada cubaan Mansor Puteh untuk membuat glosari tetapi ia tidak cukup kuat untuk diguna pakai oleh pelajar komunikasi,” katanya.
[Source] [Go Back to Citizen Journalist] [Pump!]
|
|