CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 166|Reply: 0

Hang Tuah vs Hang Jebat

[Copy link]
Post time 16-11-2011 11:05 AM | Show all posts |Read mode
Jangan semberono dalam tafsir karya agung Melayu\rKESETIAAN Hang Tuah dan pemberontakan Hang Jebat sering menimbulkan polemik dalam menentukan kewajaran pemilihan keperibadian serta perwatakan unggul bangsa Melayu sama ada meneladani Tuah atau mencontohi Jebat.\r\n\n\n\n\rBagaimanapun, polemik yang tidak berkesudahan itu boleh menjadi perbahasan yang mencurahkan air ke daun keladi, sekiranya ketokohan watak yang mengisi Sulalat al-Salatin (SS) dan Hikayat Hang Tuah (HHT) tidak dilihat dalam konteks atau didebatkan di luar lingkungan kesarjanaan.\r\r\n\n\n\n\nHal inilah yang dikesan pada Persidangan Antarabangsa Karya Agung Melayu: Sulalat al-Salatin dan Hikayat Hang Tuah di Seri Negeri, Ayer Keroh, baru-baru ini, yang menyelongkar nilai dan sifat yang sewajarnya diangkat dalam konteks teks dan zaman.\rPersidangan anjuran Yayasan Karyawan, Kerajaan Negeri dan Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) itu, turut mengusulkan teks mapan kerana SS dan HHT mempunyai banyak edisi dan tafsiran, sekali gus memerlukan kajian dan penyelidikan lebih bersepadu.\rPensyarah Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Dr Shaharuddin Maarof, menolak tanggapan masyarakat moden terhadap Hang Tuah mewakili monarki dan Hang Jebat sebagai simbol demokrasi seperti yang banyak dicerna dalam karya sastera dan filem moden.\r“Ungkapan monarkis dan demokratik tidak tepat untuk kita gunakan dalam menilai HHT kerana ia kontemporari dan moden seperti Dr Kassim Ahmad yang mengutarakan Hang Jebat sebagai tokoh utamanya.\r\n\n\n\n\r“Rata-rata kita perhatikan penobatan tokoh sebagai gejala, iaitu golongan yang tidak suka kepada keadaan sedia ada dan marah kepada pemimpin akan memilih Hang Jebat, manakala pihak yang mempertahankan status quo memihak Hang Tuah,” katanya ketika melapah Hang Tuah Wira Melayu Sebagai Fenomena.\rDr Shaharuddin berkata, usaha menaikkan wira tertentu tidak lagi menjadi objektif, sebaliknya bersifat subjektif seperti pemilihan Hang Jebat yang mewakili demokrasi sedangkan HHT tidak pernah membuktikan ketepatan penobatan itu.\r“Keperwiraannya selalu dikaitkan dengan pemberontakan, revolusi menentang kerajaan dan mewakili kebenaran, tetapi ‘revolusi’ Hang Jebat hanyalah mengambil alih istana, tempat duduk raja dan gundiknya, memakai pakaian diraja, bermukah serta menari.\r“Seandainya tindakan Hang Jebat dikatakan sebagai demokrasi dan menegakkan keadilan, sudah tentu tidak berlaku adegan berlatih sebelum bertarung dengan menikam semua orang di dalam istana sehingga disebut darah mengalir seperti hujan,” katanya pada sesi yang dipengerusikan bekas Pengarah APM UM, Prof Madya Datuk Zainal Abidin Borhan.\rJusteru, beliau menyarankan usaha mengangkat dan menjulang ketokohan Hang Tuah dan Hang Jebat memerlukan kebijaksanaan untuk melihat dua tokoh terbabit dalam ruang lingkup teks dan zamannya.\r“Usaha menjulang Hang Tuah juga tidak melihat kepada konteksnya sehingga imejnya dibina secara berlebihan dan mengikut perspektif sesuatu pihak yang tidak bersendikan ketokohannya seperti dalam sumber warisan Melayu termasuk HHT sendiri.\r“Apa saja nilai yang dikaitkan dengan ketokohan Hang Tuah tanpa menimbang kewajaran dan ketepatannya akan menjadikannya terpisah daripada konteks zaman yang memberi erti tertentu kepada ketokohan dan tindak tanduknya,” katanya pada persidangan yang turut dihadiri Pengerusi Yayasan Karyawan, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid; Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Othman Muhamad dan Pengerusi IKSEP, Datuk Mohd Said Yusof.\rNilai yang selalu ‘dihamburkan’ kepada Hang Tuah misalnya keberanian, kegagahan, kesaktian, keperwiraan, kepintaran, kesetiaan, keilmuan dan kemahiran pelbagai bahasa, lemah-lembut, diplomatik serta berjiwa kebangsaan Melayu.\rOleh itu, kajian budaya, falsafah dan bahasa diperlukan kerana nilai itu mempunyai makna tertentu dalam konteks budaya dan sejarah yang mendukung nilai terbabit sehingga usaha mentakrifnya secara terasing daripada konteksnya, akan memberi erti yang menyeleweng daripada kenyataan.\rPandangan Dr Shaharuddin itu selari dengan saranan Pensyarah Sekolah Pengajian Afrika dan Asia Timur (SOAS), London, Prof Emeritus Dr E Ulrich Kratz, yang mengusulkan keperluan teks SS dan HHT yang kritis, analitis dan dapat dipertanggungjawabkan.\r“Tidak diragukan lagi SS dan HHT adalah karya luar biasa pentingnya yang mengizinkan banyak tafsiran, tetapi dunia kesarjanaan sampai sekarang belum berhasil menyediakan sumber teks yang dapat dipertanggungjawabkan.\r“Hal ini penting agar semua pengkaji dan peminat teks itu mampu menggunakan sumber bahan yang sama serta dapat dipercayai sebagai wakil dan saksi zaman penyusun, sekali gus tidak mewakili kepentingan penerbitnya,” katanya ketika menyorot SS dan HHT: Sumbangan dan Pandangan Kesarjanaan Barat Terhadap Dua Karya Agung Melayu Ini.\rJusteru, Prof Kratz berkata, dunia kesarjanaan masih menunggu terbitan teks yang bukan diplomatis, tetapi kritis dan menganut prinsip kesarjanaan yang mempertahankan pendekatan analitis.\r“Ia adalah prinsip menekankan kesetiaan pada sumber dengan maksud menawarkan bahan nyata pada pembaca sehingga mereka dapat mengikut kenyataan sumber langsung dan secara bandingan, sekali gus berupaya menimbang dasar akal dan ilmu pengkaji.\r“Keagungan pokok kedua karya itu daripada segi bahasa, susunan dan tajuk sudah tidak diragukan lagi, tetapi prestasinya tidak boleh saja tergantung pada sentimen politik dan emosi saja,” katanya pada persidangan yang turut menampilkan Naib Canselor Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Yusoff Hashim; Karyawan Tamu, Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM, Prof Emeritus Datuk Abu Bakar Abdul Hamid dan Pengarah Penerbit Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Md Salleh Yaapar.\rBeliau berkata, kedudukan karya itu patut dibekalkan dengan landasan kesarjanaan yang kuat dan mampu memperlihatkan keunggulan dua karya terbabit dari zaman ke zaman dan di luar pergelutan ideologi sehari-hari secara ilmiah.\r“Ini kerana SS atau SM dan HHT adalah saksi serta cermin kebudayaan Melayu pada zamannya, selain turut bertindak pada masa sama sebagai karya sastera bermutu tinggi yang melebihi tafsiran sehari-hari dan bermakna abadi,” katanya pada persidangan yang turut menampilkan pemakalah luar negara, iaitu Prof Liang Liji dari Universiti Beijing dan Prof Dr Heddy Ahimsa Putra (Universiti Gadjah Mada, Indonesia).\rFelo Kehormat, Institut Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), (Dr) Muhammad Uthman El-Muhammady menganggap sifat dan prinsip yang dimiliki Hang Tuah turut tergambar dalam naskhah penting tamadun Melayu-Islam.\r“Sifat dan prinsip dalam SS dan HHT itu juga tergambar dalam naskhah lain seperti Tuhfatun Nafis, Gurindam Dua Belas, Taj al-Salatin, Sair al-Salikin, Turjuman al-Mustafid, As-Sirat al-Mustaqim, Kash al-Litham, Asuhan Budi dan Hadiqatul Azhar.\r“Ia catatan abadi mengenai prinsip dan nilai pegangan Melayu sepanjang zaman. Nilai ini dalam sastera klasik ada pada Hang Tuah yang berupa personifikasi nilai peribadi terunggul dan prinsip yang mengekalkan jati diri Melayu dan tamadunnya,” katanya ketika memperkatakan Ciri Kefahaman Negara Bangsa Melayu Mengikut Visi Pengarang HHT.\rMuhammad Uthman berkata, nilai seperti kesejatian dalam kesetiaan, amanah, kebenaran, keberanian, keteguhan azam, kesungguhan dalam perjuangan dan kesetiakawanan itu bukan saja relevan sehingga kini, bahkan diperlukan terutama apabila negara berdepan dengan pelbagai masalah yang mencabarnya dalam dan luar negara.\r“Sayangnya nilai itu dianggap feudalisme yang wajib digantikan dengan ‘nilai progresif’’ tanpa menyedari apa yang terkandung dalam teks itu mempunyai nilai sarwajagat yang tidak diikat oleh masa, sebaliknya berkait dengan realiti.\r“Apabila menyebut Hang Tuah, ia melambangkan nilai universal yang menjamin keutuhan dan kesinambungan hidup peribadi dan tamadun umat kerana kesetiaannya kepada raja adalah kesetiaan kepada institusi atau tonggak peradaban Islam di kalangan bangsa Melayu yang tanpanya Melayu akan menjadi kaum biadap dalam budaya,” katanya.

[Source]                [Go Back to Citizen Journalist]                [Pump!]




Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

8-10-2024 01:29 PM GMT+8 , Processed in 0.056139 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list