Aksi menarik pertemuan Malaysia menentang Argentina di Johor Bahru, kelmarin.
PENGURUS pasukan hoki remaja kebangsaan, Mirnawan Nawawi yakin pemain negara mampu memberikan aksi terbaik selepas bermula langkah kanan pada Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor 2013 apabila menewaskan Argentina 4-2 di Stadium Hoki Taman Daya, kelmarin.
Katanya, apa yang penting sekarang, memastikan skuad bimbingan Dhaarma Raj Muhammad terus konsisten bagi perlawanan akan datang.
"Sudah tentu saya gembira keputusan itu. Namun, saya optimis pemain boleh bermain lebih baik. Jangan buat kesilapan mudah dan pertahan perlu lebih peka.
"Kami mencipta banyak gerakan dan ini kunci kemenangan pasukan. Daripada empat pukulan sudut penalti yang diperoleh, tiga daripadanya menghasilkan gol. Ini satu peratusan yang amat bagus," katanya.
Jaringan Malaysia dihasilkan oleh Muhd Shahril Saabah minit ketujuh, 22 dan 39 serta Rashid Baharom m-51.
Manakala, gol lawan disumbangkan Lucas Martinez m-18 dan Isidoro Carlos Ibarra m-64.
|